PANGSAPURI Taman Seri Molek Perdana. FOTO Ihsan SPNB
PANGSAPURI Taman Seri Molek Perdana. FOTO Ihsan SPNB
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kerja-kerja akhir penyiapan Projek Taman Seri Molek Perdana di sini, sedang giat dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi memastikan projek ini dapat diserahkan kepada pembeli dengan kadar segera.

Jurucakap SPNB berkata, pihaknya memastikan kontraktor dapat menyiapkan Projek Taman Seri Molek Perdana dengan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada suku ke empat tahun ini.

Menurutnya, fasa pertama projek ini sudah memperolehi CCC pada 15 Disember 2020 manakala bagi fasa 2 CCC diperolehi pada 31 Disember 2021.

Katanya, jumlah keseluruhan kediaman di Fasa 1, 2 dan 3 Projek Taman Seri Molek Perdana adalah sebanyak 972 unit merangkumi rumah pangsa kos sederhana rendah, pangsapuri kos sederhana dan rumah pangsa kos rendah.

"SPNB juga akan memastikan hak-hak setiap pembeli adalah terjamin seperti yang termaktub di dalam perjanjian jual beli ditandatangani oleh pembeli sebelum ini.

"SPNB komited dalam menyokong hasrat kerajaan 'Satu Keluarga, Satu Rumah' yang digagaskan oleh Perdana Menteri demi manfaat Keluarga Malaysia keseluruhannya," katanya semalam.

Media semalam melaporkan lebih 900 pembeli kediaman Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Plentong di sini guar apabila rumah yang dibina sejak 2010 gagal diserahkan kepada mereka.

Sesetengah pembeli sudah membayar pinjaman perumahan itu kepada pihak bank sejak 2014.

Malah segelintir pula terpaksa menyewa rumah lain, berikutan masih tidak diserahkan kunci rumah yang dibeli di projek Perumahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 9:15 PM