GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipercayai memandu lawan arus hingga bertembung dengan kereta dinaiki pasangan kekasih di Kilometer 4.5 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) arah Bagan Ajam, dekat sini, semalam ditahan polis malam ini.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini pada 8.30 malam tadi sejurus tampil membuat laporan.

Difahamkan, lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi esok untuk perintah tahanan reman.

Penahanan pemandu berkenaan disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Assisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad.

Terdahulu, sepasang kekasih dilaporkan cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan kereta 4WD jenis Mitsubishi Triton yang memandu melawan arus.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam itu, lelaki berusia 27 tahun yang memandu kereta Volkswagen membawa teman wanitanya berusia 25 tahun sebelum bertembung dengan kereta 4WD berkenaan.

Akibat pertembungan itu, lelaki serta wanita berkenaan cedera di perut dan menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 10:20 PM