LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Wanita yang cedera parah selepas kenderaan dinaiki bersama suami dan anaknya bertembung dengan kereta yang dipandu secara melawan arus di Kilometer (KM) 13.0 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) arah Bagan Ajam, di sini, Rabu lalu dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata penumpang wanita berusia 31 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira 11 pagi selepas dua hari dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Menurutnya, wanita berkenaan bersama suami serta anaknya sebelum itu dikejarkan ke HSJ selepas kemalangan tragis menimpa tiga beranak terbabit.

"Selepas dua hari menerima rawatan, polis dimaklumkan pihak HSJ bahawa wanita itu sudah meninggal dunia kira-kira 11 pagi.

"Laporan bedah siasat yang dijalankan kira-kira 2 petang tadi mendedahkan punca kematian disebabkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan dalaman ekoran impak kemalangan terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, suami wanita itu dipindahkan ke ICU sebuah hospital swasta di Georgetown manakala anak mereka yang cedera ringan turut dibawa ke hospital sama bersama bapanya.

Dalam kejadian 8.20 malam, Rabu lalu, Yong Kee Seong, 35, yang memandu Toyota Corola Atlis membawa isteri dan anaknya berusia tiga tahun sebelum mereka sekeluarga terbabit dalam kejadian kemalangan itu.

Insiden bermula apabila Honda City dipandu lelaki berusia 43 tahun dipercayai memandu secara melawan arus dari arah Bagan Ajam menghala Sungai Dua.

Pada masa sama, datang sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 24 tahun yang membawa pembonceng berusia 28 tahun bergesel dengan kereta yang memandu arus terbabit yang kemudiannya melanggar kereta yang dinaiki tiga beranak itu.

Kejadian itu menyebabkan Yong dan isterinya cedera parah manakala anak mereka cedera ringan.

Pemandu yang melawan arus itu juga dilaporkan cedera parah dan masih dirawat di ICU HSJ manakala penunggang dan pembonceng motosikal tidak mengalami sebarang kecederaan.

Berikutan kematian wanita terbabit, kes itu kini disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 8:19 PM