Sebahagian bakal jemaah haji yang terkandas selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan masih menunggu di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Sebahagian bakal jemaah haji yang terkandas selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan masih menunggu di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
BERNAMA

Putrajaya: Syarikat agensi haji berkaitan diminta berunding dengan semua bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam bagi mencari jalan penyelesaian, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu meminta supaya syarikat terbabit segera berbincang dengan semua bakal jemaah haji berkenaan, supaya jalan penyelesaian yang murni dapat dicapai demi kepentingan kedua-dua belah pihak, terutama di pihak pengguna.

Kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA semalam dipercayai ditipu, dengan mereka menggunakan visa furada untuk menunaikan haji, dan bukannya melalui Tabung Haji.

KPDNHEP berkata sekiranya jalan penyelesaian tidak dapat dicapai, bakal jemaah haji terbabit disaran membuat laporan polis dan memajukan tuntutan tebus rugi bagi amaun tuntutan tidak melebihi RM50,000 kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di mana-mana pejabat KPDNHEP seluruh negara.

"Jika tuntutan itu melebihi RM50,000, bakal haji terbabit boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil," kata KPDNHEP.

Katanya, menambah, semua tuntutan hendaklah disertakan dengan bahan bukti yang lengkap termasuk iklan, resit bayaran, segala transaksi termasuk rekod perhubungan antara bakal haji dengan syarikat agensi haji berkenaan.

Maklumat lanjut berkenaan tuntutan tebus rugi dan TTPM itu boleh dilakukan di hotline TTPM di 1-800-88-9811 atau 03-88825822 atau e-mel kepada [email protected].

"KPDNHEP memandang serius terhadap isu ini yang sering berlaku setiap musim haji, yang menunjukkan ketidakpekaan masyarakat pengguna terhadap kewujudan mereka yang mengambil kesempatan untuk memperdaya masyarakat pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 8:26 PM