ANGGOTA Bomba bantu memindahkan mangsa yang terperangkap dalam banjir di Kampung Belakang Sekolah, dekat Kupang. FOTO IHSAN BOMBA
ANGGOTA Bomba bantu memindahkan mangsa yang terperangkap dalam banjir di Kampung Belakang Sekolah, dekat Kupang. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Tiga keluarga di Kampung Belakang Sekolah, Kupang yang terperangkap dalam kejadian banjir semalam berjaya dipindahkan dengan bantuan pasukan bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kesemua 11 mangsa itu berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sheik Sheh kira-kira jam 2.30 pagi.

Beliau berkata, pasukan Bomba berjaya membawa keluar mangsa terdiri daripada dua warga emas empat lelaki dan wanita dewasa, lima kanak-kanak terdiri dari lelaki dan perempuan.

"Kesemua mangsa berada di tingkat atas rumah ketika pasukan bomba memasuki kampung terbabit.

"Jalan menghubungkan kampung ini terputus akibat ditenggelami air sedalam 1.5 hingga dua meter memasuki kawasan rumah mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, setakat ini pihaknya masih mengesan beberapa mangsa lagi yang masih terperangkap untuk diselamat dan dipindahkan.

Kejadian banjir di Baling semalam berlaku berikutan hujan lebat berterusan selama tiga jam sejak 2 petang sehingga menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 8:37 AM