ANTARA kawasan yang dilanda banjir akibat hujan lebat. FOTO ihsan Bomba
ANTARA kawasan yang dilanda banjir akibat hujan lebat. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Pasukan Bomba menyelamatkan 49 mangsa di dua kampung di daerah ini yang terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air akibat banjir, hari ini.

Ini berikutan hujan lebat yang melanda sejak semalam mengakibatkan air sungai laju.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, 34 mangsa dari Kampung Nang Mah dan 15 mangsa lagi dari Kampung Kubang Kayu, Changlun.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan 4.52 pagi tadi di Kampung Nang Mah selepas kawasan itu dinaiki air setinggi satu meter.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam yang diketuai Yazid Abdul Razak membantu memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Tradisi, di Changlun.

"Dalam pada itu, anggota BBP Bukit Kayu Hitam turut memindahkan 15 mangsa daripada lima keluarga di Kampung Kubang Kayu, di sini selepas menerima panggilan berhubung kejadian banjir pada 6.55 pagi tadi.

"Kesemua mereka juga dipindahkan ke PPS Kampung Tradisi selepas paras air mencecah satu meter di kawasan kampung berkenaan.

"Anggota bomba memastikan kesemua mereka dipindahkan ke lokasi selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat 8.24 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 10:53 AM