ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa banjir. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa banjir. FOTO Ihsan Bomba
Safuri Kamarudin


BANJIR kilat yang melanda Kampung Teluk Merudi dan Teluk Petata di Mukim Kupang, Baling menyebabkan tujuh keluarga terjejas akibat limpahan air sedalam satu meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7 malam berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, seramai tujuh anggota di ketuai Pegawai Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Osman Awang Besar ke lokasi bagi membantu mangsa banjir.

"Hujan lebat sejak 5 petang tadi (hari ini) menyebabkan rumah penduduk dinaiki air sedalam satu meter.

"Turut membantu mangsa anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Lalang bagi membantu mangsa dan membuat pemantauan sekiranya ada penduduk terperangkap," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mohd Jamil berkata, pihaknya membantu memindahkan empat penduduk berpindah ke rumah jiran selepas rumah mereka dinaiki air sehingga paras satu meter.

Beliau berkata, keadaan masih terkawal dan tidak ada mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Sehingga ini tidak ada mangsa yang dipindahkan ke PPS namun semua agensi bersiap sedia sekiranya berlaku banjir teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 10:26 PM