BANJIR kilat berlaku di Kampung Paya Lantau. FOTO ihsan bomba
BANJIR kilat berlaku di Kampung Paya Lantau. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


PASUKAN bomba dan penyelamat memindahkan suami isteri warga emas yang uzur ke rumah berhampiran selepas tiga rumah di Kampung Paya Lantau, Changlun dinaiki air akibat banjir kilat hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, air naik setinggi 0.3 meter menyebabkan mereka perlu dipindahkan segera.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.01 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Jamal Din tiba di lokasi jam 9.15 malam.

"Operasi disertai seramai lapan anggota untuk memantau keadaan selain membantu memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat.

"Pasangan warga emas berusia 70-an itu berjaya dipindahkan manakala dua rumah lain yang terdiri dari empat orang mangsa tidak berpindah kerana paras air sudah mulai surut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 10.28 malam namun pihaknya masih melakukan pemantauan walaupun hujan sudah reda dan air di kawasan itu mulai surut.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya turut menerima laporan berlaku kejadian banjir kilat di Baling dan Serdang.

"Operasi memindahkan mangsa di Baling berjaya dilakukan dan kami sedang menunggu laporan lengkap kejadian banjir kilat di Bandar Baharu/Serdang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 11:55 PM