BERNAMA

Baling: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir dari empat kampung di daerah ini pada malam ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Rasidah Kassim berkata, tiga PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi, SK Syed Sheh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.

Bagaimanapun, katanya, jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS itu sedang dikemas kini.

"Banjir setakat ini membabitkan empat kampung iaitu Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang serta Kampung Sedim dan Kampung Jernang di Mukim Bakai," katanya dalam kenyataan malam ini.

Selain itu, beliau berkata, ketika ini operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di kawasan banjir masih giat dijalankan.

Banjir di kawasan berkenaan berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam sejak 2 petang tadi turut menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk berdekatan tebing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 11:11 PM
ANGGOTA APM membantu penduduk dalam kejadian banjir kilat di sini. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA APM membantu penduduk dalam kejadian banjir kilat di sini. FOTO Ihsan Pembaca