MANGSA berjaya diselamatkan dengan bantuan BBP Baling. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA berjaya diselamatkan dengan bantuan BBP Baling. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki yang sedang asyik merakam keadaan banjir di Kampung Iboi, Baling berdepan detik cemas apabila dia terperangkap selepas air di kawasan itu naik mendadak.

Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling ke tempat selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Baling tiba di lokasi dan mendapati arus deras di kawasan Kampung Iboi, Baling.

Beliau berkata, komander operasi melaporkan terdapat seorang mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 40-an sedang leka mengambil gambar keadaan banjir di situ tanpa menyedari air sedang naik mendadak.

"Komander Operasi mengarahkan anggota membuat pemantauan dan berusaha membawa mangsa keluar daripada kawasan banjir di situ.

"Mangsa berjaya dibawa keluar melalui jalan di sebelah belakang dan dapat keluar dengan selamatnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, seterusnya pasukan penyelamat menjalankan pemantauan ke Kampung Padang Empang bersebelahan untuk menjalankan tugas menyelamat seorang warga emas.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, orang ramai sudah membantu mengeluarkan warga emas berkenaan ke tempat selamat.

"Anggota bomba kemudian bergerak ke Kampung Dusun berhampiran untuk menyelamatkan sebuah keluarga terdiri daripada seorang kanak-kanak berusia dua tahun, seorang remaja berusia 15 tahun serta ibu bapa mereka berusia 40-an.

"Keempat-empat mangsa ini dipindahkan oleh Pasukan Penyelamat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Padang Empang, Kupang, Baling," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, keadaan situasi aliran sungai ketika ini semakin surut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 10:59 PM