Muhamad Bakri bersama lembu baka charolais miliknya yang dinobatkan sebagai King of Sado di Himpunan Lembu Sado 2022. FOTO ihsan pembaca
Muhamad Bakri bersama lembu baka charolais miliknya yang dinobatkan sebagai King of Sado di Himpunan Lembu Sado 2022. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


Setiu: "Berbaloi menempuh perjalanan selama sembilan jam membawa lembu itu apabila ia dinobatkan sebagai King Of Sado 2022," kata Muhamad Bakri Bukhari.

Bakri, 37, dari Bera, Pahang antara 115 penternak lembu baka yang menyertai Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 di Pekan Jabi, semalam.

Lembu charolais milik Bakri seberat 874 kilogram dan berumur empat tahun dua bulan mencuri tumpuan ramai sehingga memenangi kategori Lembu Sado Charolais Terbaik dan King Of Sado 2022.

Katanya, dia tidak menjangka lembu kesayangan yang dibeli pada 2019 itu berjaya menarik perhatian juri sekali gus dinobatkan sebagai King Of Sado 2022.

"Lembu itu saya beli dengan harga RM13,800 di Johor pada 2019 dan membelanya selama tiga tahun untuk dipertandingkan.

"Banyak ranjau yang terpaksa dilalui sepanjang perjalanan membawanya ke Himpunan Lembu Sado itu.

"Sembilan jam perjalanan yang terpaksa ditempuh untuk sampai ke acara itu dan ia sangat mencabar," katanya.

Dia berkata, susulan kemenangan lembu itu, lembu itu terjual dengan harga RM25,000.

"Lembu yang pernah mencapai berat lebih 900 kg itu akan dikorbankan di Selangor pada tahun ini.

"Berasa puas apabila lembu itu dinobatkan sebagai King Of Sado 2022 dan lebih manis ia terjual dengan harga yang sepatutnya.

"Sebenarnya saya sayang lembu itu tetapi apabila dimaklumkan untuk ibadah korban saya merelakannya untuk dijual," katanya.

Menurutnya, dia akan terus menternak lembu baka kerana penternakan lembu baka sangat menguntungkan selain permintaannya semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 1:14 PM