KAKITANGAN Ikhlas.com dan kariah Masjid Al-Ikhlasiah ketika menjalankan ibadah korban. FOTO Eizairi Shamsudin
KAKITANGAN Ikhlas.com dan kariah Masjid Al-Ikhlasiah ketika menjalankan ibadah korban. FOTO Eizairi Shamsudin
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Lembu yang mendapat gelaran King Of Sado 2022 dikorbankan di Masjid Al-Ikhlasiah, di sini, sempena Aidiladha, hari ini.

Lembu yang digelar Gemuk itu dibeli Ikhlas.com untuk diagihkan kepada 1,000 asnaf sekitar Bukit Kerinchi.

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya sememangnya berhajat untuk mendapatkan lembu terbaik di Malaysia bagi ibadah korban tahun ini.

Katanya, pemilihan lembu baka Charolais itu dibuat kerana beratnya yang mecapai 1,200 kilogram.

"Lembu ini dianggap lembu terbaik di Malaysia tahun ini dan Ikhlas.com mahu berkongsi manfaat ibadah korban dengan masyarakat setempat.

"Dengan berat 1,200kg, daging yang diperoleh juga boleh diagihkan kepada lebih 1,000 keluarga asnaf sekitar Bukit Kerinchi.

"Sejak awal lagi kami memang berhasrat untuk membeli lembu ini kerana baka yang terbaik untuk dikongsi bersama penduduk yang kurang berkemampuan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Lembu berkenaan sebelum ini dinobatkan sebagai King of Sado dalam Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 di Pekan Jabi, Terengganu baru-baru ini.

"Majlis korban hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk dan sukarelawan untuk melapah sebelum diagihkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 1:10 PM