LUFYA mengalami kecederaan akibat diserang suspek. FOTO arkib
LUFYA mengalami kecederaan akibat diserang suspek. FOTO arkib
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Polis sedang menyiasat dakwaan pelakon, Lufya bahawa dia dicederakan dan terdapat cubaan menculik anaknya dalam kejadian di sebuah taman permainan di Kota Damansara, di sini, pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, keterangan pelakon itu sudah direkodkan semalam.

Menurutnya, lakaran wajah suspek yang didakwa melakukan perbuatan itu juga akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Pelakon itu diambil keterangan lebih dua jam oleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Kami kini dalam proses untuk membuat lakaran wajah suspek yang didakwa menyerang pelakon itu. Kita akan usahakan untuk mengeluarkan fotofit berkenaan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun katanya, identiti suspek masih dalam siasatan.

Difahamkan Lufya memberi keterangan jam 11 pagi semalam.

Lufya membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kota Damansara jam 6.59 pagi, Rabu lalu.

Sebelum ini, media melaporkan Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 37, mendakwa berdepan detik cemas apabila dipukul di kepala dan badan dengan kayu ketika seorang lelaki cuba menculik anaknya, Laana Haura, 5, di taman permainan terbabit.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Lufya mendakwa, seorang lelaki berbadan besar memukulnya sehingga dia mengalami kecederaan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 10:46 AM