Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Polis belum menerima sebarang laporan daripada pelakon dan penyanyi, Lufya yang mendakwa dicederakan dengan kayu oleh seorang lelaki ketika cubaan menculik anaknya di sebuah taman permainan di Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, memaklumkan setakat ini belum ada mana-mana pihak termasuk Lufya sendiri tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Kita sudah buat semakan dan mendapati mangsa belum membuat laporan polis. Kita nasihatkan mangsa supaya tampil membuat laporan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 35, mendakwa berdepan detik cemas apabila dipukul di bahagian kepala dan badan dengan kayu dalam cubaan menculik anaknya, Laana Haura, 5, di taman permainan terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Lufya mendakwa seorang lelaki berbadan besar memukulnya sehingga beliau mengalami kecederaan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya itu.

Difahamkan, Lufya sedang mendapatkan rawatan dan akan membuat laporan polis, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 8:16 PM