Lufya Omar
Lufya Omar
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Polis sudah merakam keterangan pelakon, Lufya Omar dan anaknya bagi membantu siasatan kes cubaan culik anak perempuannya pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, keterangan pelakon terbabit bersama anaknya itu dirakam pada 7 September lalu.

"Kita sudah mengambil keterangan pelakon terbabit selepas dia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Kanak-kanak itu juga dirujuk kepada Child Interview Center (CIC) (Pusat Temuramah Kanak-Kanak) untuk diambil keterangan," katanya kepada media ketika ditemui selepas Forum Kesedaran Anti-Scam di sini, hari ini.

Beliau berkata, lakaran fotofit suspek juga sudah diambil dan polis sedang mengenal pasti lelaki terbabit.

"Setakat ini suspek hanya seorang dan usaha mengesannya sedang dijalankan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Lufya mendakwa seorang lelaki cuba menculik anak perempuannya, Laana Haura ketika berada di taman permainan rumah mereka di Kota Damansara.

Lufya atau nama penuhnya, Lutfyah Sheikh Omar bersyukur anak dan dirinya selamat, namun dia cedera di muka mendakwa dipukul menggunakan batang kayu.

Wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Kota Damansara kira-kira 6 pagi pada 29 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 1:42 PM