KEKECOHAN yang berlaku di HRPB Ipoh membabitkan lima lelaki. FOTO IHSAN PEMBACA
KEKECOHAN yang berlaku di HRPB Ipoh membabitkan lima lelaki. FOTO IHSAN PEMBACA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


LIMA lelaki ditahan susulan merusuh di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata, semua suspek berusia antara 17 hingga 47 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian jam 4.18 petang itu berpunca rasa tidak puas hati antara pihak terbabit.

"Polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 20 tahun mengadu kakaknya dipukul oleh sekumpulan lelaki dan wanita.

"Bagaimanapun dalam masa sama isteri kepada seorang suspek mendakwa turut dipukul oleh kakak pengadu menyebabkan kedua-duanya cedera dan dirawat di HRPB," katanya.

A Asmadi berkata, berlaku pertengkaran yang kemudiannya mencetuskan pergaduhan ketika pengadu terserempak dengan empat suspek di HRPB.

Katanya, pertengkaran pada mulanya berjaya dileraikan pengawal keselamatan bertugas namun ia bersambung di sejurus pengadu menuju ke parkir motosikal untuk ke balai polis.

"Pengadu ditangkap bagi membantu siasatan dalam kes kekecohan di hospital, manakala empat suspek lain ditangkap bersangkutan dengan kes awal dilaporkan oleh kakak pengadu yang berlaku di rumah beralamat di Kampung Gunung Cheroh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, sementara bagi kes dilaporkan kakak pengadu, siasatan dibuat mengikut seksyen 148 kanun sama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, seorang suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk membabitkan dadah manakala seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 2:35 PM