FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Dua wanita warga emas berputih mata apabila kerugian lebih RM2 juta diperdaya sindiket penipuan skim pelaburan dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada Selasa lalu dan semalam.

"Pengadu pertama iaitu wanita berusia 63 tahun yang juga suri rumah melaporkan ada melihat iklan pelaburan saham di laman sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dan mudah dalam tempoh yang singkat.

"Pengadu kemudian menekan pautan yang diberikan dan dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp.

"Pengadu diberi penerangan mengenai cara-cara untuk melabur bagi mendapatkan keuntungan antara lapan peratus hingga 44 peratus daripada modal pelaburan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, tertarik dengan kadar keuntungan yang dijanjikan, pengadu memuat turun satu aplikasi yang diarahkan bagi melihat serta memantau aktiviti pelaburannya.

Katanya, sebagai permulaan, pengadu cuba melabur dengan nilai yang kecil dan menerima keuntungan yang dijanjikan, menyebabkan pengadu percaya pelaburan itu betul.

"Pengadu kemudiannya membuat pelaburan tambahan dengan nilai yang lebih tinggi iaitu sehingga RM1.09 juta ke beberapa akaun bank yang diarahkan suspek.

"Bagaimanapun, pengadu tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburan terbabit walaupun dalam aplikasi yang dimuat turun memaparkan keuntungan diperolehi.

"Pengadu syak dia ditipu kerana diarahkan membuat pembayaran tambahan jika mahu mengeluarkan keuntungan diperolehi dan akhirnya tidak lagi dapat menghubungi suspek serta gagal untuk akses aplikasi pelaburan berkenaan," jelasnya.

Kumar berkata, pengadu kedua adalah wanita berusia 66 tahun yang juga pengurus di sebuah syarikat swasta, melaporkan dia mengenali seorang individu melalui aplikasi mencari kenalan.

Katanya, pengadu kemudiannya berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp yang mana suspek mengajak pengadu untuk melabur yang menjanjikan keuntungan yang besar dan mudah.

"Pengadu turut diarahkan memuat turun aplikasi untuk memantau aktiviti pelaburannya dan tertarik dengan tawaran suspek, pengadu membuat pembayaran berjumlah RM1.1 juta ke beberapa akaun bank yang diarahkan suspek.

"Pengadu hanya menerima sedikit keuntungan atas pelaburan berkenaan di mana selepas itu, tiada lagi keuntungan diterima walaupun dalam aplikasi yang dimuat turun memaparkan keuntungan diperolehi.

"Pengadu syak dia ditipu selepas suspek tidak dapat dihubungi serta gagal untuk akses ke aplikasi pelaburan berkenaan," katanya.

Kumar berkata, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Kumar menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam urusan membabitkan transaksi kewangan.

"Orang ramai juga disarankan untuk mengikuti laman media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan Tiktok bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan modus operandi jenayah komersial," katanya.

Katanya, sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 2:19 PM