GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki susulan kejadian amuk yang berpunca daripada kemalangan tiga kenderaan di Jalan 1/1B, Taman Intan Baiduri, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada jam 9.57 pagi semalam pihaknya menerima laporan kemalangan itu.

Katanya, suspek adalah seorang daripada mangsa kemalangan itu yang mengamuk serta memarahi pemandu dua kenderaan lain.

"Sedangkan kejadian kemalangan itu disebabkan kecuaian suspek sendiri yang melanggar kenderaan di hadapannya.

"Pengadu yang membuat laporan adalah saksi kejadian. Pengadu menghampiri untuk meleraikan pergaduhan namun secara tiba-tiba diserang empat lelaki lain yang menaiki kereta dengan nombor pendaftaran dan jenis tidak pasti.

"Pengadu dipukul menggunakan sebatang besi sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan di kepala dan muka," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setibanya polis di tempat kejadian, semua lelaki yang memukul pengadu itu sudah melarikan diri.

Namun, katanya, seorang daripada suspek yang dipercayai mencetuskan pergaduhan itu dapat ditahan polis.

"Susulan kejadian, operasi dijalankan untuk mengesan suspek dan hasilnya dua lagi suspek disyaki terbabit insiden pergaduhan itu dapat diberkas.

"Semua tangkapan berusia lingkungan umur 24 tahun hingga 29 tahun. Permohonan reman sudah dibuat hari ini untuk membantu siasatan.

"Semakan rekod mendapati, dua daripada suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau manakala seorang lagi tiada rekod jenayah," katanya.

Beh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Katanya, sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dikenakan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

"Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes supaya tampil memberikan keterangan atau pun boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206.

"Orang ramai juga dinasihati supaya sentiasa mematuhi undang-undang. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu ingkar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:04 PM