GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Tidak mahu dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kad pengenalannya hilang, seorang remaja perempuan sanggup membuat laporan polis palsu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, remaja berusia 17 tahun itu membuat laporan polis mendakwa dia diragut jam 11.15 malam kelmarin.

Katanya, remaja itu bagaimanapun memberi keterangan yang mencurigakan mengenai kejadian ragut terbabit.

"Polis menahan suspek di Balai Polis Nusa Bestari, di sini, semalam kerana disyaki membuat laporan palsu bagi mendapatkan kad pengenalannya semula tanpa dikenakan denda oleh JPN.

"Suspek mengaku membuat laporan palsu dengan tujuan membuat kad pengenalan yang hilang.

"Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Rahmat menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang laporan palsu untuk kepentingan diri sendiri kerana tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 12:31 PM