POLIS sedang mengesan dua suspek lelaki dan perempuan yang terbabit dalam kejadian khianat berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah. FOTO tular
POLIS sedang mengesan dua suspek lelaki dan perempuan yang terbabit dalam kejadian khianat berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah. FOTO tular
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Polis sedang mengesan dua suspek lelaki dan perempuan yang terbabit dalam kejadian khianat berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kenderaan dipandu mangsa bergesel dengan kereta dipandu dua suspek berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Alphard mengubah laluan ke kanan dan bergesel dengan sebuah kereta jenis KIA yang dinaiki dua suspek dari arah kanan.

"Suspek lelaki dan perempuan berhentikan kenderaan dan turun. Suspek lelaki kemudian bertindak menjerit dan menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa, manakala suspek perempuan bertindak mencabut nombor pendaftaran kereta mangsa dan mencampaknya arah cermin hadapan keretanya.

"Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang dari Forest City ke Singapura," katanya dalam kenyataan, di sini.

Rahmat berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun terdapat kerosakan pada keretanya.

"Terdapat rakaman papan pemuka (dashcam) dalam kereta mangsa selain video tular dirakam pengguna jalan raya lain.

"Pengguna jalan raya dinasihati supaya memandu secara berhemah dan tidak terburu-buru terutama di laluan CIQ Link Kedua (Second Link) terutama ketika musim perayaan yang merekodkan jumlah kenderaan yang banyak," katanya

Kes di siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 3:59 PM