LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Lelaki berusia 37 tahun dan teman wanitanya ditahan bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, tindakan diambil susulan laporan polis yang diterima pada 4.13 petang pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, pengadu yang juga seorang wanita memaklumkan menerima maklumat kanak-kanak itu berada dalam bilik air dalam keadaan kurus serta tidak bermaya.

Menurutnya, pengadu juga menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

"Polis membawa kanak-kanak itu ke balai dan pengadu turut membuat laporan polis.

"Suspek iaitu bapa dan teman wanitanya berusia 39 tahun ditahan serta direman mulai 13 Oktober hingga 18 Oktober," katanya ketika dihubungi.

Rahmat berkata, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak itu tidak bersekolah dan tinggal bersama bapa kandung serta teman wanita bapanya.

"Terdapat kesan pukul di badan mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 6:14 PM