PEKERJA memeriksa tukun konkrit sebelum ditenggelamkan di  perairan Kampung Mukut, Pulau Tioman menggunakan tongkang. FOTO Mohd Rafi Mamat
PEKERJA memeriksa tukun konkrit sebelum ditenggelamkan di perairan Kampung Mukut, Pulau Tioman menggunakan tongkang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Rompin: Usaha menambahkan lagi sumber perikanan di kawasan perairan Pulau Tioman yang terkenal sebagai destinasi pelancongan terkenal di negara ini dilakukan dengan adanya projek tukun tiruan dan unjam.

Menerusi projek yang digerakkan Jabatan Perikanan Negeri Pahang itu, ia mampu menambahkan lagi sumber makanan seterusnya pendapatan nelayan turut bertambah dua hingga tiga kali ganda setiap kali mereka turun ke laut.

Malah, lebih menarik tukun tiruan jenis Konkrit Kuboid Juvenil seberat 18 tan setiap satu dilihat senjata berkesan di dasar laut dapat penghalang aktiviti pukat tunda yang menceroboh kawasan terbabit.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, peruntukan RM251,000 dibelanja bagi menyediakan tujuh unit tukun tiruan jenis Konkrit Kuboid Juvenil yang dilabuhkan di perairan Laut Pulau Tulai, dekat Pulau Tioman, Rompin pada minggu lalu.

Katanya, program kali pertama diadakan tahun ini turut membabitkan penyediaan 113 unit mini tukun berserta unjam rekreasi bernilai RM45,000 di perairan laut Kampung Mukut Taman Laut, Pulau Tioman.

Menurutnya, mini tukun berserta unjam yang dilabuhkan turut dapat membantu nelayan dalam kegiatan menangkap ikan dan aktiviti perikanan rekreasi.

Hanya dalam masa beberapa minggu selepas tukun berserta unjam dilabuhkan pelbagai jenis ikan akan bersarang dan membiak di situ.

"Projek tukun tiruan jenis Konkrit Kuboid Juvenil termasuk mini tukun berserta unjam bukan sahaja menjadi lubuk rezeki pada nelayan tempatan menangkap ikan, tetapi turut muncul sebagai kawasan agro pelancongan.

"Pelancong yang meminati aktiviti memancing pasti berpuas hati apabila dapat membawa pulang hasil memuaskan setiap kali berkunjung ke kawasan terbabit, aktiviti berkenaan juga memberi pendapatan kepada pengusaha bot.

"Kajian yang dilakukan di perairan Kampung Nenasi, Pekan sebelum ini mendapati terdapat 26 spesies ikan komersial dan 28 jenis ikan karang hidup dan membiak di kawasan tukun tiruan. Antara ikan yang banyak terdapat di situ ialah kerapu, merah, tanda, jenahak, cermin dan tenggiri," katanya.

Beliau yang turut sama menyertai aktiviti melabuhkan di Pulau Tulai minggu lalu berkata, dalam tempoh 13 tahun jabatan sudah menurunkan 262 tukun tiruan konkrit di beberapa kawasan perairan di Pahang seperti di Cherating, Rompin, Pekan dan Pulau Tioman.

Abdullah berkata, kali terakhir jabatan melabuhkan tukun jenis Konkrit Kuboid Juvenil di perairan Kampung Mukut pada 2019, sebanyak tujuh unit tukun bernilai RM250,000 disediakan. Dua tahun lalu 40 unit unjam bernilai RM20,000 turut dilabuhkan.

KERJA meneggelamkan tukun konkrit bersama unjam di kawasan perairan Kampung Mukut, Pulau Tioman. FOTO Mohd Rafi Mamat
KERJA meneggelamkan tukun konkrit bersama unjam di kawasan perairan Kampung Mukut, Pulau Tioman. FOTO Mohd Rafi Mamat

Tambahnya lagi, paling banyak tukun dilabuhkan pada 2007 dan ia membabitkan 60 tukun tiruan jenis Rekreasi. Setiap tahun jabatan berusaha mendapatkan peruntukan bagi menyediakan tukun tiruan dalam usaha menambah pendapatan nelayan di samping dapat meningkatkan lagi sektor agro pelancongan menerusi aktiviti memancing.

Katanya, projek tukun tiruan yang diusahakan tahun ini dijangka memberi penambahan stok sumber ikan di perairan Taman Laut Pulau Tulai kira-kira RM100,000 dalam satu masa, limpahan sumber akan keluar daripada Taman Laut secara berterusan memasuki zon tangkapan serta memberi tambahan pendapatan kepada 2,058 nelayan zon pantai negeri ini.

Menurutnya, aktiviti pelancongan di Pulau Tulai termasuk Pulau Tioman dijangka terus bertambah apabila peminat aktiviti menyelam dapat melihat pelbagai jenis ikan.

"Nelayan dan pengusaha bot memancing bila-bila masa boleh datang ke kawasan tukun tiruan di perairan Kampung Tulai dan Kampung Mukut, pelampung menjadi penanda kawasan tukun.

"Saya berharap projek tukun tiruan yang diusahakan dapat meletakkan perairan Pulau Tioman sebagai destinasi agro pelancongan yang menjadi pelengkap kepada imej Pulau Tioman sebagai pusat pelancongan yang terkemuka di rantau ini," katanya yang ingin memastikan sumber makanan terus bertambah bagi menampung permintaan.

Sementara itu, bagi ketua Kampung Mukut, Zahid Othman, 61, keputusan Jabatan Perikanan melabuhkan mini tukun berserta unjam dianggap rezeki datang bergolek buat nelayan serta pengusaha bot memancing tempatan.

Katanya, nelayan pastinya gembira dengan adanya tukun tiruan kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk menangkap ikan berbanding sebelum ini dan kos minyak bot dapat dikurangkan.

"Selain tukun Konkrit Kuboid Juvenil yang dilabuhkan dua tahun lalu, kali ini mini tukun berserta unjum turut ditempatkan di kawasan perairan yang sama.

"Komuniti nelayan Kampung Mukut akan bergotong-royong mengantikan unjam daun pokok kelapa yang rosak selepas beberapa bulan digunakan," katanya.

Beliau berkata, masyarakat nelayan menghargai usaha Jabatan Perikanan Negeri Pahang yang sekali lagi memilih perairan Kampung Mukut sebagai lokasi melabuhkan tukun dan unjam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 7:00 AM