BOT melepaskan tukun tiruan kuboid pada jarak lapan batu nautika.
BOT melepaskan tukun tiruan kuboid pada jarak lapan batu nautika.
Mohamad Hussin


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bakal melabuhkan tambahan 104 tukun tiruan jenis kuboid tahun ini.

Tapak tukun tiruan itu dikenal pasti di empat lokasi di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Kuala Kemaman, Merchang dan Marang manakala satu lokasi di Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM500,000 bagi penambahan tukun tiruan tahun ini.

Beliau berkata, di Kemaman sahaja sebanyak 15 tukun tiruan kuboid akan dilabuhkan.

“Bermula dari Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) sejak 2006-2010 hingga Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) sejak 2011-2015 terdapat 160 tapak tukun tiruan dibina di seluruh negara.

“Ia membabitkan 118 tapak tukun konservasi dan 42 tapak tukun rekreasi. Hampir RM50 juta diperuntukkan di sepanjang kedua-dua Rancangan Malaysia (RM) khusus untuk pengurusan dan pembangunan tukun tiruan.

“Ia juga melalui sumber peruntukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya selepas melancarkan perasmian Tukun Tiruan Negeri Terengganu di Kuala Kemaman, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Kemaman Aziz A Razak.

Ahmad Shabery berkata, pembinaan tukun tiruan bertujuan meningkatkan produktiviti biologi dan sumber perikanan di kawasan pesisiran pantai.

“Ia juga akan menyediakan kawasan pembiakan dan nurseri untuk ikan dan hidupan marin lain serta memulih dan melindungi habitat marin yang musnah akibat aktiviti perikanan dan bencana alam.

“Melalui program tukun tiruan juga, aktiviti bot pukat tunda akan kurang menghampiri kawasan nelayan tradisional,” katanya.

Menurutnya, Malaysia antara negara pertama di Asia Tenggara membina tukun tiruan iaitu pada 1975 dengan menggunakan tayar terpakai.

“Mulai 2006, Jabatan Perikanan membina tukun tiruan konkrit iaitu daripada campuran simen, pasir dan batu manakala tetulangnya daripada besi.

“Pembinaan tukun tiruan di Malaysia mengguna pakai piawaian ditetapkan dalam garis panduan United Nation Environmental Program (UNEP) iaitu ‘Guidelines for the Placement of Artificial Reefs’,” katanya.

Sementara itu, Aziz berkata, langkah Jabatan Perikanan akan memberi manfaat kepada 6,000 nelayan pantai di negeri itu.

“Kami (nelayan) ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Perikanan yang prihatin pada kebajikan nelayan dan pada masa sama membina tukun tiruan untuk membiakkan ikan di perairan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:08 AM