PROSES menurunkan tukun tiruan. FOTO Mohd Rafi Mamat
PROSES menurunkan tukun tiruan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Usaha menambah kawasan pembiakan ikan dilakukan Jabatan Perikanan (DOF) Pahang yang menempatkan 41 unit tukun tiruan konkrit jenis ‘Kuboid’ dan ‘Tetrapod’ di perairan Chempaka, Cherok Paloh dan Pantai Sepat, Kuantan, dalam tempoh tujuh tahun.

Jarak tukun tiruan dengan pantai di tiga kawasan terbabit kira-kira lima batu nautika dan kedalaman laut melebihi 10 meter dengan tukun disusun antara jarak dua meter antara satu sama lain.

Pengarah DOF Pahang Datuk Adnan Hussain berkata, kajian dilakukan mendapati hanya selepas enam bulan tukun tiruan ditempatkan di kawasan terbabit pelbagai jenis ikan, tumbuhan karang dan hidupan marin lain akan menjadikan tempat berkenaan sebagai habitat baru.

“Selain dijadikan tempat pembiakan pelbagai jenis ikan, tukun tiruan konkrit jenis ‘Kuboid’ turut menjadi penghalang atau pe­nyekat kepada aktiviti nelayan pukat tunda yang sebelum ini banyak dilaporkan berlaku di perairan negeri ini.

“Pukat tunda yang tersangkut pada tukun akan pecah dan tali penarik turut putus, saya yakin selepas ini aktiviti pukat tunda membabitkan nelayan asing di perairan daerah ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi melabuhkan 23 unit tukun tiruan konkrit jenis ‘Kuboid’ berharga RM278,600 dengan setiap satu seberat lima tan di perairan Chempaka, Cherok Paloh dan Pantai Sepat, baru-baru ini.

 ADNAN (kanan) melihat tukun tiruan konkrit jenis Kuboid. FOTO Mohd Rafi Mamat
ADNAN (kanan) melihat tukun tiruan konkrit jenis Kuboid. FOTO Mohd Rafi Mamat

Adnan berkata, tukun tiruan berbentuk empat segi (Kuboid) dengan ukuran 2.5 x 2.5 x 3 meter itu berfungsi sebagai tempat pembiakan pelbagai jenis ikan seperti kerapu, kerisi, merah, selar kuning, kembung serta udang dan sotong.

Menurutnya, tukun tiruan ditempatkan di tiga perairan daerah ini diharap menambah pendapatan nelayan tempatan yang terbabit aktiviti memancing de­ngan sasaran tahun depan golongan terbabit sudah mula boleh memancing.

“Projek tukun tiruan diusahakan turut menjadi sumber pendapatan tambahan kepada nelayan yang terbabit aktiviti membawa pemancing berminat memancing di kawasan tukun kerana banyak ikan.

“Pelbagai usaha dilakukan kerajaan membantu nelayan pantai di negeri ini antaranya menempatkan tukun tiruan konkrit jenis ‘Kuboid’ berharga antara RM5,000 hing­ga RM6,000 seunit di kawasan perairan mempunyai ramai nelayan tradisional.

“Saya berharap nelayan di Chempaka, Cherok Paloh dan Pantai Sepat mengambil kesempatan kemudahan disediakan kerajaan dengan berusaha lebih gigih menangkap ikan banyak terdapat di kawasan tukun tiruan,” katanya.

Nelayan Pantai Sepat Mohd Zayob Mat Nor, 57, berkata pelbagai usaha dilakukan DOF Pahang membantu nelayan seperti menempatkan tukun tiruan, menyediakan kursus penyeleng­garaan enjin sangkut dan bantuan peralatan menangkap ikan.

Katanya, dengan adanya tukun tiruan pendapatan nelayan akan bertambah apabila mampu menangkap ikan yang banyak terdapat di kawasan tukun tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 11:18 AM