PELANCARAN tukun tiruan peringkat Sarawak.
PELANCARAN tukun tiruan peringkat Sarawak.
Oleh Mohamad Hussin


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Jabatan Perikanan menubuhkan Sukarelawan Perikanan (SUPER) peringkat negeri Sarawak bagi menangani isu dan cabaran berkaitan sumber perikanan.

Ahli SUPER yang dilantik terdiri daripada nelayan bagi membantu memantau pencerobohan kawasan penangkapan ikan serta membantu membanteras gejala yang menjejaskan ekosistem seperti pencemaran dan penggunaan peralatan yang merosakkan sumber dan alam sekitar.

SUPER juga mengawasi pematuhan aspek keselamatan di laut dan sungai serta membantu tugas mencari dan menyelamat (SAR) dalam kes kecemasan apabila diperlukan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kejayaan penubuhan SUPER ini dibuktikan dengan pencapaian di Kelantan apabila mereka membantu penduduk yang dilanda banjir besar, awal tahun ini.

“Penubuhan SUPER diharap dapat membantu Jabatan Perikanan dengan menjadi mata dan telinga bagi menangani isu yang membabitkan nelayan sendiri.

“Seramai 50 nelayan di daerah Sematan dilantik sebagai ahli SUPER. Ini menjadikan bilangan SUPER yang dilantik di seluruh Sarawak seramai 600 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Projek Tukun di Perairan Sarawak dan SUPER 2015 yang disempurnakan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di Dewan Persatuan Chung Hua, Sematan, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Permodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak Tan Sri Dr Alfred Jabu Anak Numpang, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani II Nogeh anak Gumbek dan Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, pelbagai pendekatan sedang dilaksanakan jabatan dan agensi berkaitan bagi mencapai sasaran itu termasuk memperluaskan kawasan tukun tiruan di perairan negara.

“Sejak tahun 1984 lagi, Jabatan Perikanan menjalankan program pembangunan tukun tiruan di perairan Sarawak. Pada masa itu, tayar terpakai dijadikan tukun bagi memulihara sumber marin.

“Sebanyak 195,641 unit tayar dijadikan tukun dari tahun 1984 sehingga 1999. Daripada jumlah itu, 33,666 diletakkan di perairan Sematan, 35,234 di Pulau Satang manakala 9,270 unit di Pulau Sampadi.

“Selepas itu, Jabatan Perikanan beralih memba­ngunkan tukun tiruan jenis bebola atau dikenali sebagai Reef Ball,” katanya.

Menurutnya, tukun jenis itu bertujuan memulihara sumber dan membantu menghalang pencerobohan pukat tunda di kawasan yang tidak dibenarkan terutama di persisir pantai selain menghalang kepupusan penyu di perairan Pulau Satang dan Pulau Talang-Talang.

“Sehingga hari ini, sebanyak 2,046 unit tukun bebola dilabuhkan dari Pulau Talang-Talang sehingga ke Tanjung Sipang. Pada keseluruhannya, rekod menunjukkan sebanyak 4,400 unit tukun bebola, 154 unit tukun konkrit dan 155 unit tukun vesel dilabuhkan di perairan Sarawak.

“Kita akan menambah bilangan tukun yang sedia ada dengan melancarkan 180 unit lagi tukun jenis konkrit yang dinamakan sebagai Tukun Rekreasi bernilai RM2 juta di perairan Sematan hingga ke Lundu,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, keberkesanan tukun untuk menarik populasi ikan terutama ikan komersial tidak dapat dinafikan kerana kajian di beberapa negara mendapati pendaratan ikan yang ditangkap berhampiran kawasan tukun meningkat 60 hingga 2,000 peratus.

“Kajian di Terengganu mendapati tukun tiruan mewujudkan habitat baru kepada 63 spesies ikan komersial daripada 27 famili ikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 10:19 AM