Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (JPM), Datuk Adnan Hussain (kiri) bersama Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat  (dua kiri) melihat proses melabuhkan tukun tiruan di Perairan Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (JPM), Datuk Adnan Hussain (kiri) bersama Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat (dua kiri) melihat proses melabuhkan tukun tiruan di Perairan Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
Nazdy Harun


Marang: Sebanyak 41 unit tukun tiruan dilabuhkan Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) dan kerajaan negeri dengan kos RM1.36 juta di perairan Terengganu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, jabatan itu melabuhkan 12 unit tukun tiruan penghalang pukat juvenile (konservasi) di perairan Batu Buruk, Kuala Terengganu dan Pulau Kapas, Marang yang bernilai RM360,000.

Menurutnya, kerajaan negeri pula memperuntukkan RM1 juta bagi tukun tiruan jenis sama yang dilabuhkan di perairan Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.

"Jumlah keseluruhan tukun tiruan yang dilabuhkan di negeri ini sebanyak 41 unit. Peruntukan besar oleh kerajaan Persekutuan dan negeri ini adalah bertujuan mengawal dan memperkayakan sumber perikanan di perairan Terengganu.

"Hasil melabuhkan tukun ini akan memberi manfaat kepada 8,635 nelayan di negeri ini," katanya selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Penghalang Pukat Tunda Juvenil (Konservasi) di Perairan Batu Buruk, Kuala Terengganu dan Pulau Kapas, Marang di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha jangka masa panjang ini juga merupakan antara langkah Jabatan Perikanan bersama kerajaan negeri dalam menangani isu kekurangan sumber perikanan dan pendapatan nelayan setempat.

Katanya, sebanyak RM6.5 juta diperuntukkan bagi pembangunan dan pemantauan tukun tiruan bagi tahun 2021 hingga 2023.

Beliau berkata, sebanyak 1,634 unit tukun dilabuhkan di 84 lokasi tukun tiruan di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Adnan berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pada 2020 oleh JPM, mendapati 129 hingga 6,047 Kilogram biomass ikan direkodkan pada satu tapak tukun tiruan dengan nilai sumber tertinggi iaitu RM84,759.

"Pada tahun lalu, sebanyak lapan unit tukun tiruan konservasi berjaya dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Kapas dengan kos RM270,000, manakala 18 unit tukun penghalang pukat tunda di labuh di perairan Dungun dan Kemaman dengan kos kerajaan negeri sebanyak RM500,000.

"Pada 2021 sebanyak 57 unit tukun tiruan berjaya dilabuhkan di enam daerah iaitu Marang, Kemaman, Kuala Nerus, Setiu dan Besut dengan kos RM1,394 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 4:38 PM