FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Mereka berpendidikan tinggi, malah ramai antaranya memegang jawatan utama dalam jabatan kerajaan, syarikat swasta, tokoh politik termasuk pakar dalam bidang tertentu serta golongan profesional berpendapatan lima angka sebulan.

Malangnya semua itu bukan jaminan mereka bijak menilai dan berhati-hati ketika berhadapan dengan tipu helah golongan penipu atau scammer yang hanya bermodalkan panggilan telefon.

Ini dibuktikan apabila lebih 60 peratus mangsa yang diperdaya golongan scammer menyamar sebagai polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN), Bank Negara Malaysia (BNM) atau Kastam Diraja Malaysia (KDRM) membabitkan golongan profesional ahli politik termasuk T20 iaitu golongan dengan pendapatan isi rumah melebihi RM10,971 sebulan.

Peningkatan kes ini menimbulkan persoalan sama ada golongan 'bijak pandai' ini tidak terdedah dengan sumber maklumat semasa berhubung kes-kes penipuan 'popular' di Malaysia atau tidak cakna dengan isu semasa.

Walaupun banyak tangkapan dilakukan polis dan turut disiarkan di media massa namun kes penipuan scammer tetap berlaku dan angka kes meningkat saban tahun.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkategorikan penipuan ini kepada beberapa jenis seperti Macau Scam, Love Scam, Parcel Scam, menyamar sebagai rakan atau kenalan di mana mangsa membabitkan pelbagai latar belakang sama ada individu profesional, kelas menengah mahupun warga tua.

Malah, sepanjang tahun lalu iaitu ketika negara dilanda pandemik Covid-19, kes penipuan Macau Scam merekodkan lebih 1,585 kes membabitkan kerugian RM580.88 juta.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din yang memaklumkan 9,646 individu ditahan sepanjang tahun lalu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan itu.

Mengulas mengenai isu itu, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, lalai dan tidak peka dengan keadaan persekitaran dan bersikap tidak ambil peduli menyebabkan kes Macau Scam di negara ini terus berlaku.

"Walaupun kes ini banyak disiarkan di media sosial dan media arus perdana namun jumlah mangsa tidak menunjukkan penurunan.

"Pelbagai agensi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan agensi lain memberi nasihat dan amaran supaya tidak menjadi mangsa namun ternyata ia tetap berlaku.

"Sikap tidak kisah dan tidak mahu ambil tahu memakan diri apabila mereka pula menjadi mangsa sindiket terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Shahul Hamid berkata, faktor keduanya terletak kepada kelemahan diri masing-masing apabila mudah terpedaya dengan pujuk rayu atau gertakan suspek.

"Ini menyebabkan mangsa mudah kecundang dengan taktik penipuan sindiket. Selain itu ada dalam kalangan mangsa ini mempunyai simpanan duit yang banyak di dalam bank.

"Malah, sindiket pandai memujuk rayu dan sudah bersedia dengan skrip khas bagi memastikan lakonan mereka benar-benar hidup," katanya.

Beliau berkata, jika ada sindiket menyamar sebagai pegawai polis, kastam, LHDN atau sebagainya, individu menerima panggilan tidak harus panik dan perlu semak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa.

"Pihak berkuasa tidak akan hubungi melalui telefon jika ingin hantar waran. Begitu juga dengan cukai LHDN yang tertunggak, pegawai LHDN tidak akan hubungi terus individu bermasalah," katanya.

Seorang lagi penganalisis jenayah Kamal Affendi pula berkata, penipuan scammer ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu tidak sangka menjadi mangsa dan satu lagi memandang remeh nasihat diberikan.

"Ada mangsa beranggapan 'status' kedudukan mereka yang berpendidikan tinggi, bekerjaya sebagai doktor, peguam, pensyarah dan sebagai menyebabkan mereka tidak mudah menjadi sasaran sindiket.

"Malangnya mereka ini tersalah tanggap dan memandang ringan isu membabitkan penipuan ini. Alasannya apabila disoal siasat polis, mereka mendakwa tidak sangka ditipu.

"Apa yang jelas, mereka meremehkan nasihat diberikan berkaitan penipuan ini. Ramai antara golongan profesional ini enggan mengakui menjadi mangsa kerana lebih memikirkan imej dan reputasi," katanya.

Kamarudin Md Din.
Kamarudin Md Din.

Rakyat tidak pernah belajar

Angka menakutkan apabila sebanyak RM72,151,022 kerugian direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara membabitkan 2,239 kes penipuan scammer dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Angka ini jelas membuktikan rakyat Malaysia langsung tidak pernah 'belajar' dan terus dipermainkan dengan modus operandi sama didedahkan polis sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, 716 kes direkodkan dengan nilai kerugian RM22,224,328.20 pada Januari lalu.

Menurutnya, bagi Februari pula, 675 kes direkodkan membabitkan kerugian RM21,501,247.82.

"Sementara bagi tempoh Mac pula, 848 kes direkodkan dengan nilai kerugian RM28,425,445.98.

"Modus operandi mereka tetap sama dan tidak berubah dengan menyamar sebagai pegawai polis, kastam, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan jangan sesekali mendedahkan maklumat perbankan mereka.

"Pihak polis tidak akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon semata-mata kerana saksi akan dikehendaki hadir di Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tujuan siasatan," katanya.

Tambah beliau, pihak polis juga tidak akan sewenang-wenangnya membekukan atau menyita akaun bank milik sesiapa pun.

"Tindakan membekukan atau menyita akaun bank hanya akan dilakukan selepas siasatan yang dijalankan menemui bukti dan keterangan yang mencukupi," katanya.

Justeru, katanya, orang ramai yang menerima panggilan telefon yang meragukan dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Untuk nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 12:00 PM