Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Hanya dalam tempoh empat bulan iaitu sepanjang Januari hingga April tahun ini, polis menerima sebanyak 1,961 laporan berkenaan penipuan dalam talian membabitkan mangsa di sekitar daerah Timur Laut.

Menurut statistik yang dikeluarkan Polis Pulau Pinang, jumlah itu meningkat sebanyak 28.5 peratus berbanding 15.8 peratus atau 1,816 laporan bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, manakala sepanjang 2022 dan 2021, masing-masing sebanyak 5,861 dan 5,228 laporan diterima daripada mangsa dalam pelbagai kes penipuan.

Katanya, penipuan membabitkan e-dagang adalah paling tinggi dilaporkan diikuti Macau scam, tawaran kerja dan pinjaman wang tidak wujud, pelaburan dan penyamaran dalam talian.

"Walaupun sudah banyak hebahan mengenainya dilakukan, tetapi masih ramai yang terpedaya khususnya membabitkan penipuan pembelian secara dalam talian atau e-dagang.

" 'Musuh alam maya' yang tidak dapat dilihat itu juga tidak memilih latar belakang pendidikan atau pekerjaan malah surirumah, kakitangan kerajaan atau golongan profesional juga turut menjadi mangsa.

"Menerusi penyiasatan, ramai yang tahu mengenai jenayah ini tetapi masih terpedaya kerana datang daripada sikap tamak, misalnya mahu pinjam wang sebanyak RM10,000 tetapi menyedari ditipu sehingga RM30,000," katanya kepada media di Plaza Gurney, di sini, hari ini.

Terdahulu, Soffian ditemui ketika menghadiri Program Pelancaran Poster 'Be Smart, Stay Alert, Let' s Fight Scam' anjuran Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF) dan Lion Clubs Timur Laut dan hadir sama ialah Pengerusi MCPF Datuk Ong Poh Eng.

Mengulas lanjut Soffian berkata, pihaknya berbesar hati dengan penganjuran program seumpamanya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung penipuan dalam talian.

"Dengan usaha (penganjuran program) seperti ini, kita harap kes membabitkan penipuan dalam talian dapat menunjukkan penurunan pada masa depan.

"Namun sebaliknya jika masyarakat masih leka, lalai dan tidak endah, kita menjangka kes juga akan meningkat," katanya lagi.

Menurut statistik itu, sebanyak 900 kes penipuan dibuka siasatan pada tahun 2022 membabitkan e-dagang iaitu 337 kes, Macau scam (144), tawaran kerja dan pinjaman wang tidak wujud masing-masing 90 kes, pelaburan (84) dan penyamaran dalam talian (79).

Manakala tipu perkhidmatan secara dalam talian membabitkan sebanyak 43 kes dan Love scam atau Parcel scam iaitu 33 dengan keseluruhan kerugian sebanyak lebih RM63juta.

Sebanyak 561 daripada mangsa adalah terdiri daripada golongan kakitangan swasta, pelajar (118), tiada pekerjaan (105), kakitangan kerajaan (75) dan pesara (41).

Mangsa terdiri daripada usia seawal 15 tahun dan dilaporkan seramai 582 daripadanya adalah golongan 'bottom billion' atau B40, diikuti M40 (203) serta T20 (115).

Sementara itu, pengunjung, Wilson Wan, 52 dari Bukit Mertajam berkata, dia menyokong usaha berterusan yang dilakukan pihak berkenaan bagi memberi kesedaran berhubung kes itu.

Katanya, dia juga kerap menerima sistem pesanan ringkas (SMS), pautan dan panggilan disyaki membabitkan penipuan.

"Boleh dikatakan sebanyak tiga panggilan disyaki penipuan diterima dalam tempoh sebulan yang mendakwa mereka daripada pihak mahkamah, syarikat penghantaran serta agensi kerajaan dan meminta saya memasukkan sejumlah wang bagi membayar 'denda'.

"Mujurlah saya sudah maklum mengenai cara penipuan ini menerusi hebahan yang dilakukan PDRM, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai menerusi media sosial serta laporan berita, jika tidak sudah tentu saya juga boleh menjadi mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 4:50 PM
Anggota Polis Daerah Timur Laut memberi penerangan serta nasihat mengenai bahaya scam pada majlis pelancaran program “Be Smart, Stay Alert, Lets Fight Scam’ di pusat membeli-belah Gurney Plaza di sini. FOTO DANIAL SAAD
Anggota Polis Daerah Timur Laut memberi penerangan serta nasihat mengenai bahaya scam pada majlis pelancaran program “Be Smart, Stay Alert, Lets Fight Scam’ di pusat membeli-belah Gurney Plaza di sini. FOTO DANIAL SAAD