Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib (kanan) ditemui pemberita pada sambutan Aidilfitri kementeriannya di Wisma Tun Fuad, Kota Kinabalu. FOTO IZWAN ABDULLAH
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib (kanan) ditemui pemberita pada sambutan Aidilfitri kementeriannya di Wisma Tun Fuad, Kota Kinabalu. FOTO IZWAN ABDULLAH
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pembukaan Pusat Jantung Negara (PJN) Sabah dengan menaik taraf Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2), di sini, disasar dapat mengurangkan 50 peratus penghantaran pesakit jantung dari negeri ini ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, berdasarkan rekod tahun lalu, kira-kira 200 pesakit jantung dari negeri ini terpaksa dihantar ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan pakar jantung di sana.

Beliau berkata, ketika ini sudah ada pusat rawatan jantung yang ditempatkan di HQE2, namun masih kekurangan pakar dan peralatan yang diperlukan menyebabkan banyak kes sakit jantung perlu dirujuk ke Kuala Lumpur (IJN).

"Sebenarnya kita sudah ada doktor pakar jantung tapi tidak cukup, iaitu seorang ketua pakar yang dibantu tiga doktor lain. Keseluruhannya kita ada pakar bius, dua pakar kakak-kanak, seorang pakar jantung dan seorang lagi pakar pembedahan.

"Jadi dengan adanya projek Pusat Jantung Negara Sabah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bukan saja menaik taraf dan menambah peralatan di HQE2 tapi juga menambah bilangan doktor pakar.

"Dengan itu, jika kebiasaannya pesakit yang ada masalah jantung terutama kanak-kanak terpaksa dihantar ke Kuala Lumpur tapi dengan adanya peralatan dan pakar yang cukup, kita dapat kurangkan hantar pesakit ke sana.

"Tahun lalu kita hantar 200 pesakit, jadi mungkin ia dapat dikurangkan kepada 100 orang," katanya ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri kementeriannya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini mengenai peruntukan RM80 juta untuk menaik taraf HQE2 yang akan dijadikan PJN Sabah, termasuk menambah doktor pakar, kakitangan dan peralatan rawatan jantung.

James yang juga Exco Kesihatan negeri berkata, beliau akan memastikan kerja menaik taraf HQE2 dilaksanakan pada tahun ini, manakala doktor pakar yang mencukupi dihantar bagi memenuhi keperluan rawatan jantung.

"Selama ini, ramai yang tidak tahu di hospital mana ada rawatan jantung di negeri ini, jadi apabila HQE2 dinaiktaraf dan dinamakan Pusat Jantung Negara Sabah, semua orang pasti tahu di mana hospital jantung di negeri ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, hanya sebahagian HQE2 saja digunakan sebagai Pusat Jantung Negara Sabah buat masa ini, sebagai usaha mewujudkan kemudahan penting itu di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga mempunyai hasrat membangunkan kemudahan khas jantung di lokasi yang baharu pada masa depan dan sudah mengenal pasti dua tapak tanah yang sesuai iaitu di Likas dan kawasan belakang HQE2.

Sementara itu, James berkata, kerajaan negeri juga mahu sebuah Pusat Darah serba lengkap dibangunkan di Sabah bagi memenuhi keperluan tabung darah.

Beliau turut mencadangkan agar pembinaan bangunan dan pengoperasian nanti diswastakan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:58 PM