Hamzah (depan, tiga kanan) mencuba mesin imbasan tangan tanpa sentuh yang diletakkan di kawalan sempadan dan lapangan terbang ketika melawat Pameran Teknologi NIISe. FOTO Fathil Asri
Hamzah (depan, tiga kanan) mencuba mesin imbasan tangan tanpa sentuh yang diletakkan di kawalan sempadan dan lapangan terbang ketika melawat Pameran Teknologi NIISe. FOTO Fathil Asri
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tanggungjawab saringan keselamatan pekerja asing ke negara ini masih di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) biarpun secara dasarnya pengambilan pekerja asing kini di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, KSM kini menentukan kuota pengambilan pekerja asing yang dahulu di bawah bidang kuasa KDN.

"Secara dasarnya pengambilan pekerja asing kini di bawah KSM.

"Namun, penapisan keselamatan masih dilakukan oleh KDN dahulu, kini dan selamanya," katanya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, saringan keselamatan itu penting supaya agensi di bawah KDN mampu memantau keberadaan pekerja asing terbabit di negara ini.

"Jika seseorang pekerja asing itu nak masuk negara kita, kita akan buat saringan tertentu. Kalau (majikan) dah dapat kuota (bawa masuk pekerja asing), dia nak bawa masuk 100 orang sebagai contoh, dia masih perlu bayar levi kepada Jabatan Imigresen.

"Kemudian kita periksa individu yang akan dibawa masuk itu dan mendapati bahawa ada antaranya disenarai hitam, jadi kita tak bagi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS)," katanya.

Hamzah berkata, bagi sektor pengawal keselamatan dan pembantu rumah, ia masih di bawah tanggungjawab KDN.

"Sektor agensi kawalan keselamatan, (pengawal keselamatan) masih di bawah tanggungjawab KDN. Ia tiada kuota jadi tidak perlu ke KSM sebab kita yang mengeluarkan lesen.

"Satu lagi ialah pembantu rumah. Orang tanya kenapa pembantu rumah tidak diserahkan kepada KSM, ia sebenarnya tanggungjawab individu.

"Yang mohon pembantu rumah siapa? Jawapannya individu. Siapa nak jaga keselamatan dia? kita yang tahu sebab kita ada polis, Jabatan Imigresen," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 3:20 PM