GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah meluluskan sejumlah 541,315 kuota pengambilan pekerja warga asing sehingga 26 September lalu dan daripada jumlah itu sebanyak 436,613 kuota sudah membuat bayaran levi.

KSM berkata mengambil kira 1.3 juta pekerja warga asing sedia ada serta bilangan kuota yang diluluskan sebanyak 541,315, jumlah itu hampir memenuhi permintaan industri untuk keperluan guna tenaga pekerja warga asing.

Katanya keperluan guna tenaga pekerja warga asing di Malaysia adalah dalam lingkungan 1.8 juta dan ia jumlah maksima yang pernah dicapai.

Dalam satu kenyataan hari ini, KSM berkata setakat ini terdapat 1.3 juta pekerja warga asing di sektor yang dibenarkan pengambilan dan penggajian pekerja warga asing, termasuk sektor informal.

Katanya pada masa yang sama, lebih 612,000 pekerja warga asing berdaftar dan lulus semakan Pemeriksaan Keselamatan dan Kesihatan (PKK) di negara-negara sumber, manakala terdapat 228,321 pekerja warga asing atau bersamaan 37.3 peratus diluluskan Visa Dengan Rujukan oleh Jabatan Imigresen yang sedang menunggu masa untuk tiba di negara ini.

KSM berkata perbincangan sudah diadakan dengan pihak industri mengenai isu kemasukan pekerja warga asing, dan dimaklumkan bahawa industri seperti sektor perladangan yang diberikan kelulusan kuota, tidak akan membawa masuk guna tenaga pekerja warga asing secara sekali gus.

Katanya pengambilan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan dan perancangan majikan, kerana mereka mempunyai tempoh masa sehingga 18 bulan untuk membawa masuk pekerja warga asing selepas bayaran levi diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 12:43 PM