DATUK Seri Hamzah Zainudin. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Hamzah Zainudin. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Larut: Tiada lagi kuota khas dikeluarkan dalam pengambilan pekerja asing di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata setiap permohonan daripada majikan kini perlu melalui penilaian jawatankuasa kementerian dalam meneliti jumlah pekerja asing yang layak diambil bekerja mengikut syarat dan undang-undang yang ditetapkan.

"Tiada lagi kuota khas. Mesti mendapat kelulusan jawatankuasa. Ada orang tidak sedar dan syok cakap. Umum perlu tahu, seseorang majikan yang memerlukan pekerja asing, perlu mendapat kelulusan jawatankuasa kerana ada akta.

"Contohnya sektor perladangan. Kena tahu berapa kuota pekerja yang diperlukan dan berapa yang layak dapat. Katalah patut dapat 1,000 pekerja tetapi disebabkan tiada tempat tinggal, jadi mungkin dia hanya dapat 400 sahaja.

"Untuk tambah baki pekerja yang dipohon, kena mohon semula dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) atau merayu kepada kami untuk disemak. Sekarang pengambilan semakin ketat dan tidak mahu lagi kuota bebas seperti legasi sebelum ini," katanya selepas menghadiri majlis mesra rakyat di Kampung Tapah, Sungai Bayur, dekat Selama hari ini.

Beliau mengulas gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr N. Sukumaran supaya kerajaan menghapuskan 'kelulusan khas' peringkat menteri sebagai kebenaran kepada pihak tertentu untuk memonopoli kemasukan pekerja asing ke negara ini bagi mengelak berulangnya sindiket membawa masuk pekerja asing berlebihan.

Hamzah berkata jika sistem kuota tidak diguna pakai dan bersifat pengambilan bebas, pekerja asing akan masuk ke negara ini sewenang-wenangnya sehingga tidak mengikut syarat serta kriteria yang ditetapkan hingga menimbulkan masalah dari segi kebajikan seperti tempat tinggal dan sebagainya.

Sebelum ini setiap majikan perlu berurusan melalui Kementerian Dalam Negeri untuk urusan penggajian pekerja asing, namun begitu, kini semua urusan tersebut boleh dibuat melalui KSM bagi memastikan keseragaman dasar dan penyelarasan prosedur penggajian pekerja asing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 5:04 PM