Khairul Dzaimee akan memulakan tugas esok. FOTO NSTP
Khairul Dzaimee akan memulakan tugas esok. FOTO NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


DATUK Khairul Dzaimee Daud dilantik Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu berkuatkuasa esok.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, Khairul, 47, sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) sejak Julai 2018.

Katanya, Khairul berpengalaman dalam bidang pengurusan keselamatan dan imigresen.

“Beliau turut bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan hal ehwal imigresen, pengurusan pekerja asing serta hal ehwal pendaftaran negara.

“Sebelum ini, beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada Disember 1996 di Jabatan Perkhidmatan Awam, diikuti Kementerian Pembangunan Usahawan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan, sebelum di KDN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul menggantikan Datuk Jamil Rakon yang sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN.

Jamil menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional berkuatkuasa 2 Januari lalu.

Sementara itu, KDN memaklumkan, Jamil dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan.

“Ini berdasarkan pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam serta pembangunan yang diperlukan kementerian ini bagi memperkasa tadbir urus KDN.

“Kepakaran kedua-dua pegawai ini akan dapat memperkukuhkan pentadbiran KDN dan Jabatan Imigresen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 12:00 PM