KEADAAN pintu empat premis di dalam sebuah pasar raya di Demak Laut pecah akibat letupan hari ini. FOTO Melvin Joni
KEADAAN pintu empat premis di dalam sebuah pasar raya di Demak Laut pecah akibat letupan hari ini. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Pintu empat premis di sebuah pasar raya di Demak Laut, di sini, pecah akibat letupan berlaku pagi hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 6.48 pagi dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi kejadian.

"Semasa jentera sampai di lokasi kejadian, komander operasi iaitu Ketua BBP Tabuan Jaya, Mohamat Meramit melaporkan kejadian tidak membabitkan sebarang kebakaran tetapi berlaku letupan yang menyebabkan pintu kedai pecah.

"Premis terjejas membabitkan tiga kedai makan dan sebuah kedai pakaian di dalam pasar raya terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan punca letupan berkenaan.

Justeru, katanya, tiada sebarang operasi pemadaman dilakukan dan hanya pemantauan bagi mengetahui punca berlakunya letupan berkenaan.

"Keadaan di lokasi juga sudah kembali seperti biasa," katanya.

Katanya, siasatan dilakukan oleh pihak Forensik Kebakaran Zon 1 bagi mengetahui punca sebenar letupan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 11:18 AM