ANGGOTA bomba mengawal kebakaran empat rumah di Kampung Tabuan Melayu. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengawal kebakaran empat rumah di Kampung Tabuan Melayu. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


LELAKI cedera ketika cuba mengeluarkan tong gas memasak dalam kebakaran yang memusnahkan empat rumah di Kampung Tabuan Melayu, Kuching, hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu mengalami kecederaan di kaki kanan akibat terpijak serpihan kaca dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, hanya lelaki terbabit yang mengalami kecederaan dalam kejadian 9.30 pagi itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.48 pagi dan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi.

“Operasi turut dibantu 10 anggota dari BBP Padungan dan lapan anggota dari BBP Petra Jaya.

“Kebakaran membabitkan empat rumah dengan dua daripadanya terbakar 100 peratus manakala dua lagi rumah terbakar 60 peratus,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 5:21 PM