FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Sebanyak lapan akaun bank milik pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dibekukan selepas disyaki digunakan bagi pemindahan wang rasuah membabitkan nilai lebih RM700,000.

Sumber berkata, siasatan berhubung kegiatan rasuah dikendalikan pegawai Bahagian Perisikan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diteruskan sejak operasi bermula Isnin lalu.

"Setakat ini seramai tujuh pegawai Imigresen ditahan dan tiada penambahan jumlah tangkapan terkini.

"Turut ditahan dua individu yang juga pemilik syarikat yang disyaki memberikan rasuah kepada pegawai JIM terbabit. Terbaru SPRM menemui tambahan RM38,000 disyaki wang rasuah diberikan kepada pegawai JIM ditahan itu.

"Ia adalah tambahan kepada lebih RM700,000 dirampas SPRM Selasa lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Rabu lalu, Harian Metro mendedahkan seramai tujuh pegawai JIM antara sembilan ditahan di negeri ini dan Selangor bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai keseluruhan sebanyak lebih RM700,000.

Semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes yang dilaporkan berlaku antara 2019 hingga 2021. Enam pegawai penguat kuasa terbabit termasuk pegawai kanan dan seorang warga asing ditahan SPRM Sarawak manakala seorang lagi pegawai JIM ditahan bersama seorang wanita tempatan yang juga pemilik syarikat di Selangor.

Difahamkan wang rasuah berkenaan diterima daripada beberapa individu yang mengaji pekerja asing sebagai balasan untuk memudahkan permohonan pas pekerja yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 serta sudah tamat tempoh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 3:16 PM