Penolong  Jurutera Mekanikal Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, ditahan direman selama tujuh hari hingga Isnin ini. FOTO Ahmad Ismail
Penolong Jurutera Mekanikal Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, ditahan direman selama tujuh hari hingga Isnin ini. FOTO Ahmad Ismail
Mohamad Fahd Rahmat


PENOLONG jurutera mekanikal Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, Johor ditahan direman selama tujuh hari hingga Isnin ini di Mahkamah Majistret Segamat, Segamat Johor.

Penolong Pendaftar Ahmad Shakib Ismail membenarkan reman itu mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semalam menurut sumber, suspek berusia 42 tahun ditahan SPRM selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM700,000.

Siasatan dijalankan mendapati suspek meminta wang itu sebagai upah mendapatkan kerja bekalan dan perkhidmatan di maktab itu bermula tahun 2014 sehingga tahun lalu.

"Suspek ditahan di rumahnya di Merlimau kira-kira jam 6.30 pagi ini bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan berhubung penyelewengan dalam kerja bekalan dan perkhidmatan maktab itu.

"Dalam serbuan itu, pasukan penyiasat menjumpai wang tunai kira-kira RM32,000 yang disembunyikan dalam tin biskut," katanya.

Turut dirampas barangan kemas dan sebuah kereta Toyota Prado dianggarkan bernilai RM30,000.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi turut mengesahkan tangkapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 1:13 PM