BERNAMA

Melaka: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan tiga pegawai Jabatan Muzium Malaysia dan seorang pengurus syarikat bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu membabitkan ketirisan wang kerajaan sekurang-kurangnya RM700,000.

Menurut sumber di sini hari ini, mereka ialah tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 30 hingga 50 tahun, ditahan di negeri ini antara 10 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam.

"Hasil siasatan mendapati mereka mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu beberapa pesanan kerajaan kepada Jabatan Muzium Malaysia di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Kerja yang dimaksudkan itu tidak dilaksana dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan. Siasatan setakat ini menunjukkan ketirisan wang kerajaan sekurang-kurangnya RM700,000.00 dalam tempoh dari 2013 sehingga 2015," katanya.

Menurut sumber itu, mereka dilepaskan dengan ikat jamin SPRM lewat petang semalam.

Pengarah SPRM Melaka Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 11:57 PM