Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan Orang Asli bagi kerja-kerja pembinaan Projek Hidroelektrik Nenggiri yang bermula sejak Mac lalu.

Pengurus Besar TNB (Negeri Kelantan dan Terengganu) Mustaphakamal Yaacob berkata, dalam masa sama, ia turut memberi peluang kepada kontraktor tempatan untuk terbabit sama dalam projek bernilai RM5 bilion itu semasa fasa pembinaan dan pasca pembinaan.

"Peluang pekerjaan ini juga tersedia selepas pembinaan selesai dan semasa operasi loji jana kuasa seperti penyelenggaraan kawasan, pengawal keselamatan serta kerja-kerja yang memerlukan pekerja mahir dan tidak mahir," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Kepada Media Mengenai Projek Hidroelektrik Nenggiri di sini, hari ini.

Katanya, projek berkenaan juga dijangka dapat membantu serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan apabila pengurangan banjir dapat diatasi.

PEMANDANGAN udara kawasan empangan Projek Hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PEMANDANGAN udara kawasan empangan Projek Hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Apabila pengurangan banjir berlaku, secara tidak langsung dapat meningkatkan aktiviti ekonomi yang sebelum ini tidak dapat dilakukan. Sebagai contohnya dalam sektor pertanian dan pembuatan.

"Selain itu, tasik takungan utama yang terbentuk ini juga akan dapat mewujudkan beberapa aktiviti ekonomi tempatan seperti akuakultur, di mana permintaan bagi ikan ternakan akan meningkat.

"Dalam masa sama, tasik takungan ini juga akan menjadi daya tarikan untuk aktiviti eko pelancongan dan rekreasi yang dapat menjana pendapatan kepada penduduk sekitar sebagaimana di Tasik Kenyir apabila Orang Asli di sekitar Tasik Kenyir dapat meningkatkan ekonomi dan kehidupan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustaphakamal berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tiga penempatan Orang Asli iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias membabitkan 257 ketua isi rumah (KIR) dengan bilangan 1,115 keluarga yang terkesan susulan pelaksanaan projek berkenaan.

"Pihak kami akan melakukan penempatan semula kepada perkampungan Orang Asli yang terkesan berdasarkan kepada keperluan perundangan dan persetujuan Orang Asli sendiri.

"Kawasan penempatan baru ini akan meningkatkan kualiti hidup mereka dalam jangka masa panjang selain mendapat rumah yang lebih selesa serta mempunyai sumber pendapatan yang lebih terjamin melalui kebun getah yang akan dibangunkan khusus untuk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 8:45 PM