GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan hari ini bersetuju memanjangkan beberapa kemudahan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak yang sedang melengkapkan khidmat wajib atau masih menjalani latihan siswazah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, persetujuan itu dibuat bagi kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal kepada kumpulan itu yang sedang menjalani khidmat wajib.

Menurutnya, selain itu pemanjangan kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan serta Cuti Tibi, Kusta dan Barah kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak yang sedang menjalani latihan siswazah atau khidmat wajib.

Katanya, ketetapan itu dibuat selaras dengan usaha berterusan dan komitmen untuk menambah baik situasi kebajikan pegawai lantikan kontrak.

"Keputusan pemanjangan kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan serta Cuti Tibi, Kusta dan Barah diharapkan dapat menangani isu ketidaksetaraan pemberian kemudahan ini antara pegawai lantikan kontrak yang sedang menjalani latihan siswazah atau khidmat wajib dengan pegawai lantikan kontrak yang sudah melengkapkan khidmat wajib.

"Selain itu, pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak yang sedang menjalani khidmat wajib juga akan dapat menikmati kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal sebagaimana dinikmati pegawai lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan hari ini adalah satu daripada usaha dan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menambahbaik dan menyediakan persekitaran tempat kerja yang kondusif.

Katanya, keputusan ini juga diharap membantu seluruh kakitangan KKM dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan selamat kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 5:44 PM