GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kabinet bersetuju supaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan mengikuti pengajian kepakaran.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Katanya, langkah itu bagi memastikan pegawai berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

Beliau berkata, Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

"Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

"Antara persetujuan lain yang turut dicapai ialah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

"Keputusan ini juga akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan satu kertas cadangan kepada Kabinet pada 14 Julai lalu berhubung penambahbaikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan amat menghargai sumbangan doktor sebagai barisan hadapan dalam berhadapan Covid-19 dan akan terus komited memastikan kebajikan dan laluan kerjaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 1:00 PM