Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 4,186 jawatan tetap tambahan diwujudkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun ini dengan lantikan akan dibuat bermula Jun ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia menjadikan seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi akan dilantik ke KKM.

"KKM dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Januari lalu membentangkan satu memorandum yang membincangkan tawaran baharu berhubung keperluan perjawatan tetap tambahan serta hala tuju pelaksanaan inisiatif bagi menangani isu berkaitan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak.

"Dalam mesyuarat ini, jemaah Menteri bersetuju sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai 2023 hingga 2025," katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, selain itu, jemaah Menteri juga bersetuju supaya 800 jawatan tetap Pakar Perubatan dan 70 Pakar Pergigian diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai 2023 bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM.

"Melalui keputusan terbaharu ini, sekurang-kurangnya 8,686 perjawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan sepanjang tempoh 2022 sehingga 2025.

"Sebagai tambahan juga, 800 lagi lantikan tetap untuk pegawai perubatan dan 70 pegawai pergigian boleh dibuat pada setiap tahun bagi mengisi kekosongan oleh pegawai perubatan yang akan dilantik menjadi pakar perubatan," katanya.

Khairy berkata, jemaah Menteri juga bersetuju dengan pelan hala tuju yang sedang dibangunkan oleh KKM bersama agensi dan kementerian yang berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam kemelut berhubung pegawai lantikan kontrak ini.

"Antara kandungan dalam pelan hala tuju ini termasuklah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Sarjana Muda Perubatan (SMP) dan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (SMPP) bagi mengoptimumkan kapasiti penawaran program dan mengawal kualiti graduan;

"Selain itu, menilai dan mengemas kini senarai Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, melaksanakan Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi menangani isu kualiti dan kompetensi graduan serta memperkukuhkan Program Pengajian Kepakaran Kebangsaan," katanya.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan Dasar Pengoptimuman Sumber Manusia dalam Perkhidmatan Awam dan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam mulai 2015 sebagai usaha untuk memastikan perbelanjaan awam dibuat secara berhemah dan optimum.

"Namun dengan pelaksanaan dasar ini, perjawatan baharu tidak lagi diluluskan melainkan dibuat secara tukar ganti dengan perjawatan kosong sedia ada.

"Susulan pelaksanaan dasar ini juga, graduan perubatan, pergigian dan farmasi terpaksa menunggu lama untuk mendapat penempatan latihan siswazah atau khidmat wajib kerana faktor kekosongan jawatan tetap yang terhad," katanya.

Menurutnya, tawaran baharu itu memberi peluang kepada doktor 'junior' untuk bersaing mendapat tempat secara adil ke jawatan tetap.

"Kita akan mengiklankan jawatan ini secara terbuka pada Februari ini dan ia adalah terbuka kepada mereka yang sudah tamat latihan siswazah, berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia dan tiada kes tatatertib serta disahkan sihat.

"Mereka akan melalui tapisan awal dan proses ini akan dibuat secara telus, adil tanpa pilih kasih dan proses ini akan diteliti serta diumumkan oleh Ketua Pengarah (Kesihatan).

"Selepas itu, mereka akan melalui temuduga yang akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), kita masih menunggu jawapan daripada SPA.

"Saya harap SPA akan mengendalikan supaya pemilihan dibuat oleh badan bebas. Sekiranya mereka berjaya surat tawaran lantikan akan dikeluarkan SPA pada Jun ini," katanya.

Khairy Jamaluddin ketika sidang media di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Khairy Jamaluddin ketika sidang media di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 6:03 PM