PENJAWAT awam maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas. FOTO Ihsan Polis
PENJAWAT awam maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Penjawat awam meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan tercampak di bahu jalan di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam dari arah Batang Kali menghala ke Sungai Tua, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Syafiq Farhan Mohd Sufiee, 29, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Honda Wave bersendirian dari arah Batang Kali menghala ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas menyebabkannya terjatuh serta tercampak di atas bahu jalan di sebelah kiri.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Selayang yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Selayang untuk proses bedah siasat.

"Kemalangan itu mengakibatkan motosikal mangsa rosak di bahagian kiri depan hingga belakang.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nordi talian 0176645812 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 8:15 AM