GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Polis minta saksi atau sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan maut di Jalan Batu 18, Rawang dekat sini, pagi hari ini, tampil untuk membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Gombak Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian itu.

Menurutnya, mangsa maut kerana kecederaan di kepala selepas tercampak ke atas jalan dalam kejadian pada 2.45 pagi ketika menunggang motosikal dari Rawang menuju ke Selayang.

Katanya, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan menyebabkan lelaki berusia 39 tahun itu tercampak di atas jalan.

"Akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayatnya dibawa ke Hospital Selayang bagi proses bedah siasat bagi membantu siasatan.

Katannya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 atau 03-61262222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 2:08 PM