KUDA yang mati akibat dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger di Jalan Sungai Tua-Ulu Yan arah Selayang, Rawang, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
KUDA yang mati akibat dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger di Jalan Sungai Tua-Ulu Yan arah Selayang, Rawang, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Seekor kuda mati selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sungai Tua-Ulu Yan arah Selayang, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kemalangan itu berlaku jam 6.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun dalam perjalanan dari arah Antara Gapi menghala ke Sri Gombak.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit menyedari terdapat seekor kuda berada di laluannya dan dia tidak sempat mengelak hingga berlaku kemalangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Ariffin berkata, pemandu serta penumpang kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bagaimanapun, kuda itu dilaporkan mati di lokasi kejadian dan kami masih lagi menyiasat mengenai pemilik kuda berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59," katanya,

Menurutnya, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu atau mempunyai maklumat boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mohd Sakri Mat di talian 019-9145899 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126222 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 9:40 PM