MANGSA dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
MANGSA dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Nurul Hidayah Bahaudin

Selayang: Seorang wanita maut sejurus motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 18, Jalan Sungai Tua-Ulu Yam dari Hulu Selangor menghala ke Sungai Tua, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, mangsa, Rozaina Che Ismail, 37, yang juga pekerja hotel disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang menemui mangsa pada jam 8.45 pagi.

“Pihak polis dimaklumkan mengenai penemuan mangsa yang ditemui terbaring di bahu jalan bersama motosikal model Yamaha Ego di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal berseorangan dalam perjalanan dari Hulu Selangor menghala ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa terbabas ketika melalui selekoh sebelum mangsa tercampak dan terkena besi penghadang jalan,” katanya.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang kesan brek atau serpihan kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 11:35 AM