TINJAUAN di klinik swasta di Putrajaya, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TINJAUAN di klinik swasta di Putrajaya, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Tiada gangguan bekalan ubat dan kebanyakan bekalan ubat yang berkurangan itu mempunyai alternatif daripada jenama lain yang mempunyai idikasi yang sama.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Norhaliza A Halim berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak industri mengenai situasi sebenar bekalan ubat yang dihasilkan di negara ini atau diimport.

"KKM melalui Program Perkhidmatan Farmasi sudah mengadakan perjumpaan dengan pihak industri farmaseutikal. Maklumbalas yang diterima daripada pihak industri menunjukkan terdapat peningkatan permintaan yang mendadak bagi beberapa jenis ubat-ubatan.

"Ia termasuklah produk dengan bahan aktif paracetamol (bagi rawatan demam dan sakit yang ringan), vitamin C serta ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak-kanak.

"Namun, pada masa ini, tiada produk yang mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh kerana kebanyakan produk mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama.

"Pihak pengilang juga sudah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhaliza berkata, perjumpaan dengan pihak industri farmaseutikal itu membabitkan Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysia Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS).

Dalam pada itu, Norliza berkata pemantauan yang ketat dan penyelesaian terhadap setiap isu yang dialami akan diteliti melalui komunikasi berterusan antara KKM dan pihak industri farmaseutikal bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 11:34 AM