PESERTA misi Keluarga Everest Malaysia 2022 akan meneruskan misi pada 2023.Foto ihsan KAME
PESERTA misi Keluarga Everest Malaysia 2022 akan meneruskan misi pada 2023.Foto ihsan KAME
Samadi Ahmad


Kathmandu: " Kita tidak mahu menggadaikan nyawa pendaki, tidak ada guna sekiranya kita berjaya sampai di puncak namun ada peserta mengalami kecacatan dipotong 10 jari dan berhadapan maut," kata ketua Misi Keluarga Everest 2022 (KAME 2022), Azim Afif Ishak.

Azim, 32, pendaki Everest 2016 berkata, pihaknya akur misi ini tidak dapat dijayakan disebabkan faktor cuaca dan keselamatan serta memohon maaf kepada seluruh Keluarga Malaysia yang hakikatnya misi ini sebenarnya boleh direalisasikan.

Katanya, aktiviti pendakian boleh dilakukan pada bila-bila masa namun beliau sama sekali tidak mahu mempertaruhkan nyawa peserta sekiranya berhadapan perkara di luar jangkaan.

"Empat peserta sudah menghampiri kejayaan terdiri orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim, 32, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Awang Askandar Ampun Yaacub, 54, Koperal Pragash Murugesu, 32, dari Kem Ulu Kinta,Perak dan pakar teknologi maklumat, Oh Jin Heng (Jack), 37.

"Mereka berada antara kem tiga dan kem empat kira-kira 7,600 meter (m) dari paras laut (8,849 m ketinggian Everest) yang hanya memerlukan sekitar 16 jam untuk tiba di puncak tertinggi dunia itu," katanya kepada Harian Metro.

Azim berkata, pihaknya memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana sepanjang misi ini beliau mengambil berat, bertanyakan khabar serta menghubungi peserta ketika sambutan Aidifitri lalu yang mengharapkan misi berjaya dicapai bagi mengharumkan nama negara.

Menurutnya, cuaca buruk yang berlaku pada 22 Mei lalu bermula 3 pagi (waktu Nepal) menyebabkan Awang Askandar berhadapan simpton buta salji manakala Pragash dikhuatri berhadapan radang dingin (frost bite) yang diarahkan berpatah balik awal ke EBC dan diterbangkan segera dengan helikopter ke pusat rawatan bagi mengelak risiko radang dingin dan Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (AMS).

Katanya, empat peserta berkenaan tidak mengalami sebarang simpton selepas menerima rawatan segera termasuk enam lagi peserta KAME 2022.

"Oleh kerana masih mempunyai bajet yang mencukupi misi ini ditunda ke tahun depan membabitkan peserta yang sama dan menjadikan apa yang berlaku ini sebagai satu cabaran bagi mencapai kejayaan.

"Kami juga sudah menerima nasihat daripada ketua malim gunung di Nepal melalui pertemuan diadakan Jumaat lalu dan beliau menyarankan misi akan datang dimulakan lebih awal pada Mac bagi mengelak berdepan cuaca buruk dan musim salji cair awal.

"Melalui pengalaman dilalui, misi akan datang ini dijangka tidak mengharungi kesukaran

kerana peserta sudah menimba berpengalaman menjalani latihan di Labuche Peak (6,119m) dan latihan teknikal di laluan Khumbu Icefall," katanya.

Mengikut jadual, KAME 2022 memulakan misi pada 17 April lalu dan dijadualkan berakhir pada 5 Jun ini.

Enam peserta lain yang menyertai misi ini terdiri dua anggota Komando 69 Ulu Kinta iaitu Mohammad Hanif Che Ahmad, 28, dan Inspektor Kanang Usin, 42; jurutera, Ahmad Murshid Maktar, 34; kakitangan swasta, Ayu Wanirah Naharuddin, 29, dan Pegawai Sukan, Rina Jordana Adnan, 41.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 2:56 PM