RAIHAN bersama Rashid dan ibunya Hajar Baharin  melihat keputusan SPM yang diperolehnya.
RAIHAN bersama Rashid dan ibunya Hajar Baharin melihat keputusan SPM yang diperolehnya.
Zairee Mohd Yasak


Alor Gajah: Jatuh cinta kepada ilmu Allah mendorong gadis pintar Raihan Khairani Rashid, 19, mendalami bidang hafazan al-Quran di dua sekolah pondok termasuk Madrasah Tahfiz Al-Quran Baitul Furqan, Masjid Tanah sejak berusia 12 tahun.

Malah, disebabkan cintakan al-Quran gadis itu nekad untuk tidak menyambung pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dua pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) dihantar untuk memujuknya gagal mengubah pendirian gadis itu yang tetap mahu menyambung pengajian di sekolah pondok.

Dia yang menghafaz 23 juzuk al-Quran sejak enam tahun lalu terpanggil untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi Program Tahfiz Pintar dianjurkan Kerajaan Melaka dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Walaupun enam tahun meninggalkan sekolah aliran kebangsaan dan langsung tidak mendapat pendedahan mengenai subjek asas di sekolah menengah, dia mampu memperoleh keputusan membanggakan dalam SPM 2016 lalu.

Dalam keputusan SPM diumumkan 17 Mac lalu gadis pemalu itu memperoleh A+ bagi subjek Pendidikan Islam dan Sains, A- subjek Sejarah, B+ Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Matematik manakala C+ untuk Bahasa Inggeris.

“Program itu turut membabitkan 18 lagi pelajar sekolah pondok sekitar Melaka, kami kena beri tumpuan 100 peratus kerana perlu menguasai silibus pengajian pelajar tingkatan empat dan lima pada kebiasaan mengambil masa dua tahun dalam tempoh lapan bulan saja sebelum menduduki peperiksaan SPM.

“Saya turut menggunakan kemahiran menghafaz al-Quran untuk mengingati fakta penting serta formula terutama bagi subjek sains dan matematik dengan harapan memperoleh keputusan cemerlang.

“Syukur walaupun belajar dalam masa singkat saya memperoleh keputusan membanggakan diri sendiri dan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di KUIM, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, kelmarin.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, bantuan guru, kenalan dalam kalangan penuntut KUIM serta pelbagai program seperti latih tubi, kuiz membantunya memperoleh keputusan membanggakan itu.

Menurutnya, antara cabaran lain perlu ditempuh ialah perbezaan budaya dan suasana pembelajaran antara sekolah pondok dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Tekanan dihadapi amat hebat, belum habis bulan pertama saya berasa putus asa. Namun selepas memikirkan semula pesanan ayah dan mencapai impian melanjutkan pengajian ke universiti saya ambil keputusan meneruskannya,” katanya.

Bapanya Rashid Hasan, 51, bersyukur dengan pencapaian Raihan Khairani, yang manja dengan panggilan Kakak dalam kalangan ahli keluarga.

“Selepas Kakak beritahu dia terpilih menyertai program itu saya terus beri semangat kepadanya, itu peluang dia menambah ilmu dan menguasai perkara baharu dalam hidup.

“Pada mulanya Kakak keberatan namun saya tetap memujuknya, selepas diterangkan kebarangkalian yang bakal berlaku pada masa depannya baru dia setuju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 9:05 AM