AKTIVITI membaca dan menghafaz Al Quran adalah antara kelebihan paling besar diperoleh pelajar.
AKTIVITI membaca dan menghafaz Al Quran adalah antara kelebihan paling besar diperoleh pelajar.
PELAJAR maahad tahfiz atau sekolah aliran agama juga tidak ketinggalan mengikuti pelbagai subjek sama seperti di sekolah aliran kebangsaan sekali gus membuang tanggapan negatif mereka hanya layak bergelar ustaz atau ustazah semata - mata.
PELAJAR maahad tahfiz atau sekolah aliran agama juga tidak ketinggalan mengikuti pelbagai subjek sama seperti di sekolah aliran kebangsaan sekali gus membuang tanggapan negatif mereka hanya layak bergelar ustaz atau ustazah semata - mata.
TIDAK perlu ada lagi pandangan skeptikal kepada pelajar atau sekolah aliran agama dan maahad tahfiz kerana mereka juga mampu mencapai kejayaan cemerlang seperti mana pelajar lain.
TIDAK perlu ada lagi pandangan skeptikal kepada pelajar atau sekolah aliran agama dan maahad tahfiz kerana mereka juga mampu mencapai kejayaan cemerlang seperti mana pelajar lain.
PENGISIAN masa pelajar dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti utama iaitu membaca dan menghafaz al Quran.
PENGISIAN masa pelajar dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti utama iaitu membaca dan menghafaz al Quran.
BUKAN saja ditekankan dengan keperluan akademik malah pelajar juga didedahkan dengan aktiviti berbentuk fizikal serta lasak.
BUKAN saja ditekankan dengan keperluan akademik malah pelajar juga didedahkan dengan aktiviti berbentuk fizikal serta lasak.
WAKTU pembelajaran dan pengajaran dipenuhi dengan keperluan dunia semasa untuk membantu pelajar mengimbangi pelbagai keperluan masa kini.
WAKTU pembelajaran dan pengajaran dipenuhi dengan keperluan dunia semasa untuk membantu pelajar mengimbangi pelbagai keperluan masa kini.
SESI pengajian akademik turut ditekankan kepada pelajar.
SESI pengajian akademik turut ditekankan kepada pelajar.
NUR Ain
NUR Ain
ADLAN bangga dengan kejayaan cemerlangnya dalam SPM.
ADLAN bangga dengan kejayaan cemerlangnya dalam SPM.
Ainal Marhaton Abd Ghani

Suatu ketika dulu sekolah aliran agama dan maahad tahfiz sering dianggap hanya mampu melahirkan bakal ustaz atau ustazah. Lebih menyedihkan apabila sekolah itu kerap dilabel hanya sesuai untuk mereka yang mahu menjadi ‘tok lebai.’

Ini berikutan kebanyakan sekolah berkenaan daif, tidak terurus dan kurang kemudahan untuk proses pembelajaran dan pengajaran.

Faktor itu mengundang perspektif negatif masyarakat yang menganggap sekolah berkenaan hanya sesuai untuk pelajar lemah akademik atau bermasalah disiplin.

Ini kerana pelajarnya dikatakan tiada masa depan, tidak kompeten manakala prestasi akademiknya tidak setanding sekolah aliran kebangsaan, sekali gus menutup peluang mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Bagaimanapun, pandangan skeptikal itu kini sudah berubah, malah sekolah aliran agama menjadi rebutan ibu bapa untuk menghantar anak mereka.

Persepsi negatif itu makin berkurangan kerana pelajar sekolah berkenaan juga mengikuti pembelajaran sama seperti sekolah aliran kebangsaan. Malah, ia mempunyai kelebihan apabila turut mengajar beberapa subjek seperti Bahasa Arab dan hafazan al-Quran.

Pelajarnya juga didedahkan dengan silibus kokurikulum dan kurikulum sama seperti pelajar sekolah lain.

Lebih membanggakan apabila pencapaian akademik pelajarnya lebih tinggi atau sekurang-kurangnya setanding sekolah berasrama penuh, menyebabkan peluang mereka untuk melanjutkan pengajian terbuka luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) Datuk Zulkifle Ali berkata, sekolah aliran agama dan maahad tahfiz diwujudkan bagi meneruskan kesinambungan usaha melahirkan pemimpin yang mempunyai keseimbangan akhlak dan ilmu.

Menurutnya, keseimbangan itu diterapkan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran selain penambahan beberapa elemen lain.

“Hasilnya, tanggapan masyarakat terhadap sekolah aliran agama sudah berubah dan institusi ini makin mendapat tempat dalam kalangan ibu bapa.

“Sekolah yang dulunya serba daif kini sudah melangkaui fasa baru. Penekanan keseimbangan dalam kokurikulum dan kurikulum serta pengukuhan dalam aspek lain menjadi tonggak kekuatan melahirkan pelajar berilmu dan berakhlak,” katanya.

Beliau berkata, komitmen pelajar yang yang sentiasa ‘berkepit’ dengan kitab suci al-Quran juga menjadi ‘inti pati utama’ dalam mencapai matlamat itu selain tidak mengenepikan kepentingan aspek semasa.

Walaupun berhadapan dengan sesi persekolahan yang lebih panjang, ditambah satu lagi ‘subjek’ wajib, pelajar tetap mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama, sekali gus membuktikan kemampuan sekolah berkenaan setanding dengan sekolah kebangsaan.

Menurutnya, walaupun pada mata kasar situasi itu kelihatan seperti membebankan pelajar, pihaknya menjadikan keadaan itu sebagai cabaran dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan cemerlang untuk dimanfaatkan bagi pembangunan ummah.

Ditanya mengapa ibu bapa kini berlumba-lumba mahukan anak mereka meneruskan pengajian peringkat menengah di maahad tahfiz atau sekolah aliran agama, Zulkiflie berkata, kesedaran mengenai kepentingan ilmu agama menjadi antara sebab utama situasi itu wujud.

“Kita tidak nafikan maahad tahfiz swasta makin banyak dibuka tetapi untuk mewujudkan sebuah akademi al-Quran merangkumi akademik, agama dan hafazan al-Quran sering menjadi kekangan.

“Justeru, ibu bapa kini cenderung memilih maahad tahfiz yang mempunyai ketiga-tiga elemen itu dan MTNP memiliki semuanya,” katanya.

Menurutnya, kesungguhan ibu bapa yang mahu anak mereka meneruskan persekolahan dan pada masa sama mampu menghafal al-Quran adalah kekuatan utama maahad tahfiz atau sekolah aliran agama.

“Sekolah aliran agama atau maahad tahfiz bukan lagi sekolah kelas kedua, malah sudah ramai berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara dalam pelbagai bidang profesional seperti kejuruteraan, kedoktoran dan arkitek,” katanya.

Kekal rekod 3 tahun

“Berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran sepanjang lima tahun di sini adalah kejayaan paling besar bagi pelajar sekolah ini. Pada masa sama, kami tidak pernah menolak kepentingan subjek lain, malah pelajar memang ditekankan dengan aspek berkeperluan.

“Ini bagi memastikan mereka mendapat manfaat lain seperti peluang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, mampu bersaing untuk memperoleh pekerjaan dan melahirkan tenaga profesional,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) Datuk Zulkifle Ali.

MTNP adalah sebuah institusi pengajian swasta milik penuh Yayasan Pahang yang beroperasi di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan.

Sebagai bukti, katanya, MTNP berjaya mengekalkan kecemerlangan selama tiga tahun berturut-turut di peringkat negeri dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2013.

Dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.38 berbanding 1.46 pada tahun sebelumnya dan 1.45 pada 2013 menjadikan MTNP terus unggul dan diumumkan sebagai sekolah terbaik negeri dan 10 sekolah terbaik peringkat kebangsaan dalam pencapaian SPM tahun lalu.

Di peringkat negeri, MTNP berjaya mengatasi Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Bentong yang memperoleh GPS 1.88, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Pekan (2.35) dan Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH) Pekan (2.36).

Zulkifle berkata, MTNP juga mengungguli kedudukan teratas peringkat kebangsaan mengatasi sekolah berasrama penuh (SBP) yang memperoleh GPS 1.40 dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 1.43.

“Pencapaian ini sangat membanggakan kerana pelajar berjaya menghafal al-Quran dan pada masa sama dibebani tugasan akademik.

“Dengan pelbagai kerja sekolah, aktiviti kokurikulum dan program lain, mereka masih mampu mencuri masa mempelbagaikan serta mengimbangi keperluan sedia ada,” katanya.

Syarat pemilihan ketat termasuk proses temu duga (ujian hafazan) dan simulasi (menjalani kehidupan asrama) dilakukan sebagai proses saringan untuk memilih calon benar-benar layak.

“Kalau kita ada disiplin dan kesungguhan serta komitmen daripada guru, ibu bapa dan pelajar, tidak mustahil kita mampu mencatat kejayaan cemerlang dalam kedua-dua bidang akademik dan hafazan.

“Pendekatan dalam mendidik pelajar perlu seiring seiring dengan matlamat melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.

Selain akademik, pelajar maahad tahfiz itu juga cemerlang dalam sukan berkuda dan memanah apabila saban tahun berjaya menempatkan diri dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pencapaian itu dibuktikan apabila pelajarnya terpilih mewakili negara ke peringkat antarabangsa seperti pertandingan equestrian kategori Show Jumping di Australia, baru-baru ini.

Selain itu, pelajarnya juga menyertai pertandingan hafazan al-Quran di Mesir awal bulan ini.

Pelajar tidak terbeban walaupun jadual pembelajaran ketat

Adlan Mahmud, 18, terpilih sebagai pelajar terbaik MTNP apabila mencatat keputusan 10A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, tahun lalu

Lebih membanggakan, 13 lagi pelajar maahad itu mendapat semua A dalam peperiksaan berkenaan.

Adlan berkata, dia kini menggunakan waktu terluang dengan mengikuti kelas tasmid sementara menunggu keputusan tawaran menyambung pengajian sama ada di dalam atau luar negara.

“Saya berbangga dapat peluang belajar di sini kerana dapat menimba ilmu akademik dan pada masa sama membaca dan menghafal al-Quran dan memahami pengertiannya.

“Walaupun agak terbeban, saya dapat mengawal keadaan kerana menghafal al-Quran dapat menenangkan fikiran dan mendamaikan hati,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu yang berminat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan dan perakaunan .

Katanya, dia tidak terlepas daripada pandangan sinis segelintir pihak yang menganggap pilihan memasuki maahad tahfiz hanya sekadar mahu menjadi ustaz.

“Tapi dengan keputusan diperoleh, saya mampu membuktikan faktor aliran sekolah hanya penyumbang kecil terhadap kejayaan pelajar. Yang penting usaha,” katanya.

Nur Ain Zulkifli, 18, pula berkata, keputusan cemerlang yang diperolehnya hasil kesungguhannya melakukan ulang kaji dan menghafal al-Quran setiap malam.

“Saya gunakan waktu malam untuk mengulang kaji pelajaran dan siapkan kerja sekolah sebelum tidur sekitar jam 2 pagi dan bangun untuk Qiamualail pula.

“Menghafal al-Quran kelebihan kepada pelajar kerana secara tidak langsung ia menguatkan ‘otak’ kita untuk menerima perkara baru dan cergas ketika sesi pembelajaran di kelas,” katanya yang berhasrat menjadi pendidik.

Pelajar tingkatan empat, Muhammad Aiman Nasaruddin, 16, berkata minatnya menghafaz al-Quran menyebabkan dia membuat keputusan meneruskan persekolahan di maahad tahfiz berkenaan.

“Sekolah menengah harian atau sekolah menengah agama biasa tidak memperuntukkan waktu khusus untuk kelas hafazan dan mungkin saya mengambil masa lama untuk menghafal 30 juzuk al-Quran.

“Di sini, waktu hafazan sudah ditetapkan setiap hari dan saya berjaya menamatkan hafazan dalam tempoh setahun sembilan bulan sahaja dan mengikuti kelas syahadah untuk membaiki bacaan,” katanya.

Muhammad Aimam seorang daripada lima pelajar MTNP yang menyertai pertandingan hafazan bagi merebut piala Crown of Dignity 7th di Sekolah Antarabangsa Arab Saudi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:01 AM